Sukan

TFC berdepan JDT dengan ‘senyuman’

Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menjelaskan pasukannya akan beraksi dengan ‘senyuman’ dan tanpa sebarang tekanan di final Piala FA berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam esok.

Ini kerana pengendali berusia 43 tahun itu melihat tekanan sebenar diharungi skuad Penyu adalah ‘laluan berliku’ untuk menuju ke final apabila berdepan dengan pasukan hebat seperti Negeri Sembilan FC, Kedah Darul Aman (KDA) FFC dan Selangor FC.

Beliau berkata, matlamat sebenar pasukannya untuk mara ke final Piala FA sudah tercapai dan berharap pemain lebih menikmati perlawanan akhir itu selain mengintai peluang untuk meraih kejuaraan.

Saya tak rasa tekanan tinggi sebab apa yang kami sasarkan untuk ke final sudah tercapai.
Saya lebih rasakan tekanan untuk ke final, semasa pusingan pertama kami berdepan Negeri Sembilan seterusnya Kedah dan Selangor. Jadi untuk final itu saya rasa matlamat itu sudah sampai.

“Cuma kami bermain untuk (rebut) piala saja malam esok. Jadi pemain kena bagi yang terbaik, nikmati perlawanan akhir dan saya pun tiada tekanan untuk malam esok,” sidang media praperlawanan di SNBJ, hari ini.

Kali terakhir TFC menjulang Piala FA adalah pada 2011 ketika dibimbing pengendali berpengalaman, Irfan Bakti Salim.

Bagi Nafuzi pula, dia pernah memenangi Piala FA semasa bergelar pemain bersama Terengganu pada 2000 dan 2007 ketika mewakili Kedah.

Oleh itu, Nafuzi berkata, dia turut mengimpikan kejuaraan Piala FA pertama sebagai jurulatih.

Sebagai jurulatih, saya rasa lagi bermakna untuk saya dapat piala, tambahan pula pada usia muda dan masih belajar.

sumber:- HM

“Setiap jurulatih perlukan piala untuk buktikan anda sebagai jurulatih terbaik,” katanya.