Sukan

Pasukan pilihan atlet dan selebriti untuk jadi juara Piala FA

Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi pilihan beberapa selebriti dan atlet tanah air untuk memenangi Piala FA musim ini.

Mereka memilih JDT yang juga juara Liga Super lapan musim berturut-turut untuk mengatasi Terengganu FC (TFC) di final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Penyanyi dan komposer, Akim Ahmad menjangkakan JDT mampu menjulang Piala FA menerusi penentuan sepakan penalti.

Pelakon, Ruhainies meramalkan kemenangan bakal menjadi milik JDT disebabkan kelebihan tersendiri yang ada pada pasukan itu.

“Saya rasa JDT akan menang 2-1 ke atas TFC kerana mereka memiliki pemain yang hebat. Malah, JDT mempunyai peluang besar berdasarkan pencapaian mereka sebelum ini,” katanya.

Namun, berbeza dengan pelakon dan pelawak, Zizan Razak apabila meramalkan kemenangan akan berpihak kepada negeri kelahirannya iaitu Terengganu dengan keputusan 3-2.

Saya rasa kemenangan memihak Terengganu 3-2. Tapi, ini jangkaan saya sajalah.

“Apapun saya doakan yang terbaik buat kedua-dua pasukan. Kalau boleh buat serilah, supaya dua-dua berjaya,” katanya.

Sementara itu, legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tanpa teragak-agak menyatakan pilihannya adalah JDT memandangkan prestasi baik ditampilkan mereka.

“Saya memang pilih JDT sebab mereka kuat. Kalau tengok prestasi semasa mereka pun sangat bagus. Jadi, saya pilih JDT dengan kemenangan 2-0,” katanya.

Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri pula, dia mengakui tidak mengikuti sukan bola sepak secara rapat, namun tetap memilih JDT untuk memenangi Piala FA.

“Saya sebenarnya tak ikut sangat bola sepak, tapi untuk final Piala FA kali ini mungkin JDT boleh menang sebab prestasi mereka pun baik.

“Cuma untuk jumlah jaringan saya tak pasti nak anggarkan berapa,” katanya.

sumber:- HM

Pemain futsal wanita negara, Intan Serah turut menyatakan pilihannya adalah JDT dan meramalkan mereka mampu menang 3-1 ke atas TFC.