Sukan

Hector Bidoglio dibayangi kejayaan Mora

SELEPAS dua tahun menyepi, aksi final Piala FA 2022 membabitkan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) kembali menghangatkan arena bola sepak tanah air di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Sesuai dengan status gergasi Liga Malaysia ketika ini, peluang tampak cerah bagi JDT merangkul gelaran kedua mereka pada pertandingan itu selepas meraih kejuaraan pertama pada musim 2016 dengan menewaskan PKNS FC, 2-1.

Bagaimanapun, bekas pengendali Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah berpendapat pentas final Piala FA 2022 bakal menjadi cabaran buat JDT yang kini mendapat sentuhan ketua jurulatih baharu dari Venezuela, Hector Bidoglio, sejak Julai lepas.

Azraai, yang membimbing skuad Sang Kenari menjuarai Piala FA selama dua tahun berturut-turut pada 2007 dan 2008, menjelaskan ujian besar menanti Bidoglio ialah bagi membuktikan beliau mampu meneruskan magis bekas pengendali Harimau Selatan, Benjamin Mora, yang meninggalkan pasukan itu atas urusan peribadi.

“Bukan senang nak ambil alih tempat Mora yang menang banyak piala bersama JDT sebelum ini, kerana sebagai jurulatih baharu Bidoglio perlu membuktikan beliau mempunyai taktikal serta strategi mantap bagi memenangi Piala FA 2022,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Mora adalah jurulatih JDT paling berjaya dengan empat kejuaraan Liga Super, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan membawa JDT ke pusingan kalah mat! Liga Juara-Juara AFC tahun ini.

Azraai yang meramalkan JDT menjuarai Piala FA dengan keputusan 2-0 berkata, skuad Harimau Selatan itu tetap mempunyai kelebihan di atas padang kerana dilihat memiliki kekuatan di setiap posisi, berbanding skuad Penyu.

Katanya, kekuatan ketara dimiliki JDT adalah gandingan serangan mereka dibarisi pemain sayap sensasi, Arif Aiman Mohd Hanapi serta dua awang import, Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva, yang mampu menjadi senjata ampuh untuk menembusi kubu pertahanan TFC.

“Bagi TFC pula, semuanya bergantung kepada jentera tengah mereka iaitu Manuel Ott serta Habib Haroon selain aksi pemain sayap lincah, Mohamad Faisal Abdul Halim yang berpotensi menjadi pengubah keadaan dalam final itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, bekas jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim pula menjangkakan aksi sengit bakal disajikan kedua-dua pasukan pada perlawanan akhir tersebut.

Irfan, yang membantu Terengganu muncul juara pada edisi 2011 dengan menewaskan Kelantan, 2-1, percaya pasukan dari Pantai Timur itu mampu melakar kejutan, sekali gus menamatkan kemarau hampir sedekad tanpa kejuaraan Piala FA.

“Prestasi JDT agak ‘yo yo’ sedikit terutamanya selepas seri 1-1 men3ntang Selangor FC dalam aksi Liga Super baru-baru ini. Namun, kita tahu tahap JDT sangat berbeza daripada pasukan lain, malah kebanyakan pemain mereka juga menyarung jersi Harimau Malaya,” katanya.

Menurutnya, sekiranya Nafuzi Zain, selaku ketua jurulatih TFC, menurunkan dua tonggak s3rangan utama, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche, percaturan itu dilihat bakal membuka jalan kepada JDT untuk menguasai bahagian tengah.

Ketua jurulatih Kuching City FC itu sebaliknya mencadangkan agar TFC memadatkan bahagian tengah mereka, justeru akan menyaksikan Sherman atau Tchetche terpaksa berada di bangku simpanan.

sumber:- SH

Jurulatih berpengalaman itu pada masa sama menjangkakan kelibat Arif Aiman dan Faisal Halim bakal menjadi tumpuan pada final itu kerana kedua-dua mereka mampu menjadi watak penting dalam menentukan nasib pasukan masing-masing. – Bernama