Sukan

Pendapatan setahun Aaron-Wooi Yik sangat mengejutkan

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengharapkan akan ada lebih ramai pemain yang mampu meletakkan diri mereka dalam ranking lima terbaik dunia.

Katanya, pemain yang berada dalam kelompok itu mampu meraih pendapatan lebih satu juta ringgit setahun seorang seperti mana yang sedang dinikmati oleh juara dunia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.

Justeru itu, Norza berharap kejayaan Aaron dan Wooi Yik yang kini berada di ranking kelima dunia mampu menjadi sumber inspirasi kepada pemain lain untuk berada dalam kelompok itu sekali gus menjadikan Malaysia sebagai kuasa besar badminton dunia.

“Saya juga mengumumkan Aaron dan Wooi Yik sudah melanjutkan kontrak bersama BAM sehingga 2024 (kontrak ini ditandatangani sebelum Kejohanan Dunia). Mereka akan terus memberikan yang terbaik untuk menjadi kebanggaan negara dengan berusaha gigih melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Dengan kejayaan di peringkat dunia ini, ia mencerminkan yang mereka boleh meraih lebih satu juta ringgit seorang dalam setahun disebabkan berada dalam kelompok lima terbaik dunia.

“Justeru, kita berharap ia dapat menyemarakkan lagi pemain muda kita di ABM ini untuk berada dalam kelompok lima terbaik dunia. Ini pasti akan menjadi pendorong buat remaja Malaysia untuk menjadikan badminton (sebagai sukan pilihan), pemain dan karier secara serius,” kata Norza dalam majlis penyampaian insentif kepada kedua-dua pemain ini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Aaron dan Wooi Yik menerima ‘durian runtuh awal’ RM500,000 keseluruhan daripada BAM dan juga rakan strategik badan induk berkenaan seperti Yonex dan 100 PLUS.

“Mereka berdua sudah mengharumkan nama negara. Sebagaimana kita sedia maklum pada 28 Ogos 2022 lalu, mereka menjuarai Kejohanan Dunia di Tokyo,” kata Norza mengenai majlis hari ini.

“Hari ini, mereka menerima RM150,000 seorang daripada BAM dan keseluruhannya RM300,000 daripada BAM. Mereka juga menerima RM50,000 seorang daripada Yonex dan RM50,000 seorang daripada 100PLUS.

“Kita yakin dan percaya, akan ada lebih banyak lagi insentif yang akan diterima. Sebagai mana kita sedia maklum, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga memaklumkan yang mereka akan mengumumkan insentif kepada kedua-dua pemain ini.

sumber:- BH

“Bukan saja SHAKAM (Skim Hadiah Kemenangan Sukan) tetapi juga ganjaran tambahan kepada mereka berdua,” tambahnya.