Sukan

Nyaris berhijrah, kini jadi tonggak penting

Pada awal musim ini, striker Terengganu FC (TFC), Muhamad Arif Mohamed Anwar lebih banyak memanaskan bangku simpanan skuad Penyu itu.

Malah pemain kelahiran Gombak berusia 27 tahun itu hampir beralih angin menyarung jersi pasukan Liga Perdana, PDRM FC ketika jendela kedua perpindahan pemain pada Mei lalu.

Namun rezekinya masih bersama TFC apabila keputusan untuk berhijrah terpaksa dilupakan atas beberapa faktor sebelum bekas striker UiTM FC itu bersama Terengganu FC II (TFC II) dalam saingan Liga Perdana.

Bagaimanapun, peningkatan dipamerkan bekas pemain kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) menyaksikan dia kembali mendapat kepercayaan ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk disenaraikan dalam pasukan TFC.

Pada Mei lalu, saya hampir menyarung jersi PDRM FC bagi memastikan minit perlawanan bertambah selepas kerap berada dalam senarai pemain simpanan.

Namun kini saya begitu teruja, terima kasih kepada barisan kejurulatihan kerana kembali menyenaraikan saya dalam pasukan selain berpeluang untuk memperagakan aksi.

“Setiap pemain sudah pasti impikan untuk beraksi dalam pentas akhir kerana auranya cukup berbeza, sekiranya diturunkan pada aksi men3ntang Johor Darul Ta’zim (JDT) Sabtu ini, ianya bakal menjadi pengalaman pertama dan sejarah sepanjang bergelar pemain bola sepak,” katanya ketika dihubungi.

Pada perlawanan men3ntang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 21 Ogos lalu yang memihak kepada TFC 2-1, dia bijak melakukan hantaran kepada rakan sepasukannya, Petrus Shitembi sebelum pemain kelahiran Namibia itu berjaya meledak gol kemenangan tiga minit sebelum perlawanan berakhir.

Berdasarkan pencapaian sebelum ini, pemain berketinggian 1.71 meter itu yang memulakan kariernya bersama Harimau Muda, Kuala Lumpur, PJ Rangers sebelum ke UiTM berjaya membantu Kuala Lumpur menjulang trofi Liga Perdana pada 2017.

sumber:- HM

Dia juga berjaya membantu The Lion Troops layak beraksi di peringkat suku akhir Piala Malaysia pada 2020 yang juga kali pertama dalam sejarah pasukan itu.