Sukan

Elavarasan jadi penentu sebenar

Tugas E Elavarasan sebagai pengendali baharu skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara mungkin tampak mudah kerana sekadar ‘bekerja’ dan mengendalikan pemain muda.

Namun pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim melihat tanggungjawab bekas pengendali Sarawak United itu sebenarnya amat berat kerana dia memegang ‘kunci’ kepada masa depan bola sepak negara dan skuad kebangsaan.

Apapun, Zulakbal yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tetap menganggap pelantikan Elavarasan sebagai jurulatih skuad B-23 adalah ideal berbekalkan pengalamannya dalam kancah bola sepak tempatan selain menjadi orang kanan Kim Pan Gon.

Elavarasan akan memainkan peranan yang sangat besar kerana dia akan menjadi penerus kesinambungan antara skuad B-23 dengan skuad senior. Seperti sedia maklum, skuad B-23 sememangnya menjadi pelapis untuk skuad Harimau Malaya bagi masa depan.

Sudah tentu Elavarasan dilantik untuk memenuhi kehendak bagi perancangan kedua dua pasukan. Dengan pengalaman bersama Pan Gon sebelum ini, dia mampu menyiapkan pasukan muda untuk bermain sama seperti skuad senior.

“Sebab itulah saya katakan tanggungjawab Elavarasan ini sangat penting kerana pembentukan pemain bagi masa depan akan berada di tangannya. Skuad ini akan dibentuk oleh beliau untuk dibekalkan kepada skuad senior,” katanya.

Dalam masa sama, Zulakbal juga berbesar hati dengan perancangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang melantik Elavarasan sekali gus memberi isyarat betapa badan induk itu tetap percaya kepada kemampuan anak tempatan.

Ini satu pelantikan yang baik sekali gus memberi peluang kepada Elavarasan menghimpun lebih banyak pengalaman di arena antarabangsa. Siapa tahu mungkin giliran Elavarasan mengendalikan skuad kebangsaan pula selepas ini.

sumber:- BH

“Dengan rekodnya yang agak memberangsangkan dalam kancah tempatan, saya percaya dia layak (pengendali skuad B-23) dan sudah pasti skuad B-23 akan mendapat manfaat daripada sentuhannya,” katanya.