Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo menunjukkan kehebatan dimilikinya di depan gol apabila menyamakan kedudukan selepas jaringan Marcos Alonso buat Chelsea ketika seri 1-1 pada aksi Liga Perdana di Old Trafford sebentar tadi.

Ia satu lagi malam yang sukar buat skuad kendalian Ralf Rangnick dalam musim penuh masalah walaupun dijangka menyerlah musim ini.

Keputusan berkenaan memberikan Chelsea kedudukan ketiga liga dengan 66 mata manakala United keenam bersama 55 mata, lima di belakang pasukan tangga keempat Arsenal dan bermain lebih dua perlawanan.

Satu-satunya saat hebat yang memberikan sedikit keceriaan kepada penyokong United yang mula menyuarakan rasa kecewa terhadap pemilik kelab dari Amerika Syarikat itu hadir menerusi kawalan dan penyudah Ronaldo.

Tidak banyak yang menjadi buat United musim ini, sama ada di bawah Ole Gunnar Solskjaer atau Rangnick, yang mengambil alih tugas daripada pengurus Norway itu pada November namun pemenang lima kali Ballon d’Or itu sekali lagi menyerlah di depan gol.

Gol Ronaldo pada minit ke-62 ialah jaringan ke-17 miliknya dalam liga musim ini dengan hanya Mohamed Salah dari Liverpool menemui lebih banyak sasaran dan bekas pemain Real Madrid itu mel3dak lapan daripada sembilan gol terakhir pasukannya.

“Bukan hanya gol dijaringkan Cristiano tetapi persembahannya secara keseluruhan, perwatakannya pada usia 37 tahun, bukanlah sesuatu yang normal untuk melakukannya,” kata Rangnick.

“Jika dia bermain seperti dilakukannya hari ini, dia masih boleh memberikan banyak bantuan untuk pasukan ini,” katanya.

“Ia mata yang bagus buat kami. Pada babak pertama Chelsea mendominasi perlawanan. Anda boleh lihat mereka ada pemain hebat dan sangat teratur, dan bukanlah mudah mengawal mereka,” kata pengurus sementara itu yang akan digantikan oleh bos Ajax Amsterdam, Erik ten Hag pada penghujung musim.

Selepas Chelsea gagal menyempurnakan banyak peluang pada babak pertama sambil penjaga gol United, David De Gea tiga kali menafikan cubaan Kai Havertz, mereka akhirnya berada di depan selepas sejam perlawanan.

Hantaran Reece James disambung Havertz dan Alonso meledak dengan kaki kiri ke penjuru gawang.

sumber:- BH

Bagaimanapun dalam tempoh dua minit, United menyamakan kedudukan apabila Nemanja Matic melambungkan bola dan Ronaldo membuat satu sentuhan sebelum melepaskan sepakan mengatasi penjaga gol Edouard Mendy. – REUTERS