Sukan

Format ACL sedikit ‘pelik’

Format saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) sedikit ‘pelik’ dan berbeza jika hendak dibandingkan dengan ‘abangnya’, Liga Juara Juara Eropah (UCL).

Ini kerana format ACL hanya juara setiap kumpulan dan tiga naib juara terbaik daripada setiap zon untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mat! – tidak seperti UCL yang memberi tiket kepada juara dan naib juara setiap kumpulan.

Bagi musim 2022, perkiraan mata menjadi lebih rumit susulan penarikan diri Shanghai Port daripada Kumpulan I sekali gus menyaksikan pungutan mata ke atas pasukan tercorot bagi kumpulan di Zon Timur tidak akan dikira bagi penentuan naib juara terbaik.

Jadi, apakah peluang wakil tunggal negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mencipta sejarah sebagai pasukan pertama dari Malaysia yang menempah tiket ke pusingan kalah mati ACL?

Selepas cemerlang dalam tiga aksi terdahulu yang menyaksikan anak buah Benjamin Mora mengutip tujuh mata dan mendahului Kumpulan I, percaturan JDT merehatkan tonggak memakan diri apabila mereka dibelasah 5-0 di tangan wakil Jepun, Kawasaki Frontale kelmarin.

Pasukan nombor satu Asia itu jelas tidak dapat menerima hakikat apabila diikat tanpa jaringan oleh JDT sebelum ini dan melepaskan ‘geram’ dengan memb3lasah pasukan di tangga ke-215 itu sekali gus merampas kedudukan pendahulu Kumpulan I.

Ketika ini, JDT masih lagi menghuni tangga kedua walaupun terikat tujuh mata dengan Ulsan Hyundai berdasarkan rekod pertemuan kerana JDT menang 2-1 ke atas wakil Korea Selatan itu sebelum ini.

Justeru, kekalahan besar 5-0 masih belum menutup peluang JDT untuk melangkah ke pusingan seterusnya namun ada ‘syaratnya’ dan ia tidak mudah kerana bukan setakat menggunakan kudrat sendiri namun perlu mengharapkan bantuan pasukan lain.

Ada beberapa senario yang memungkinkan JDT untuk layak ke pusingan seterusnya namun senario terbaik adalah mereka menang ke atas Guangzhou Evergrande selain mengharapkan Ulsan dapat mengikat Kawasaki Frontale.

Jika ini dapat berlaku, Frontale akan mengutip sembilan mata sementara Ulsan mengutip lapan mata manakala JDT akan mendahului Kumpulan I dengan 10 mata.

Memasuki aksi terakhir, Frontale akan berdepan pasukan ‘b3lasahan’ iaitu Guangzhou dan tiga mata mudah pasti menjadi milik Frontale – sembilan mata tambah tiga mata menjadi 12 mata buat Frontale.

Dari sini, JDT perlu menewaskan Ulsan pada aksi terakhir dan tiga mata ke atas Ulsan akan membolehkan mereka menghimpun 13 mata dan secara matematiknya, layak selaku juara Kumpulan I.

Bagaimana sekiranya ‘skrip’ ini tidak dapat dijayakan dengan Frontale menang semua baki dua perlawanan – enam mata maksimum sekali gus menghimpun 14 mata dan menjuarai Kumpulan I?

Jangan khuatir, JDT masih boleh ‘mencuri’ tiket ke pusingan 16 terbaik sebagai tiga naib juara terbaik dengan syarat menjaringkan seberapa banyak gol yang boleh ke atas Guangzhou dan turut menang ke atas Ulsan.

Kalau ini dapat dilakukan, JDT akan mengutip tujuh mata bagi perkiraan naib juara terbaik dan pungutan mata ini mungkin mencukupi untuk mengisi satu daripada tiga slot naib juara.

Cuma diharapkan bolos besar ketika berdepan Frontale tidak akan ‘menghantui’ mereka dalam penilaian tiga naib juara terbaik yang akan mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya.

Apa yang penting adalah pintu JDT untuk mencipta sejarah baharu bola sepak negara belum tertutup – jadi sama sama kita doakan JDT dapat menempa sejarah yang pasti membanggakan penyokong bola sepak tempatan.

Senario 1

Kawasaki Frontale 8 + 1 + 3 = 12 mata

JDT 7 +3 +3 = 13 mata (automatik juara Kumpulan I)

Ulsan Hyundai 7 + 1 + 0 = 8 mata

Senario 2

Kawasaki Frontale 8 + 3 + 3 = 14 mata

JDT 7 + 3 + 3 = 13 mata

Ulsan Hyundai 7 + 0 + 0 = 7 mata

• Kemenangan ke atas pasukan tercorot, Guangzhou Evergrande tidak dikira jadi JDT akan memiliki 7 mata untuk perkiraan naib juara terbaik

sumber:- BH

• Tidak termasuk aksi semalam, JDT ketika ini berada di tangga ketiga untuk perebutan tiga naib juara terbaik dengan 4 mata namun ketinggalan dari segi perbezaan jaringan