Sukan

Peluang Kedah pintas JDT carta Liga

Pasukan mana potong pasukan mana! Itu mengenai kemungkinan kesudahan dua perlawanan dalam saingan Liga Super, yang bakal berlangsung malam ini.

Paling mencuri tumpuan sudah pastinya pertemuan antara Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Likas. Satu lagi aksi membabitkan Negeri Sembilan FC dengan KL City FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Kedah tentunya menetapkan misi besar untuk perlawanan itu walaupun turun selaku pasukan pelawat kerana jika menang atau seri berdepan Sabah, mereka boleh memintas Johor Darul Ta’zim (JDT) di kedudukan teratas.

Skuad Sang Kenari kini berada di tangga kedua dan berkongsi 12 mata dengan JDT yang kurang satu perlawanan kerana terbabit dengan saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Iskandar Puteri ketika ini.

Justeru, aksi 90 minit di Kota Kinabalu menjadi peluang terbaik untuk anak buah Aidil Sharin Sahak merasai berada di puncak Liga Super walaupun mungkin hanya untuk sementara waktu.

Bagaimanapun, tugas Sang Kenari tidak mudah kerana Sabah yang memiliki kelebihan beraksi di gelangggang sendiri turut mengintai peluang untuk kembali merampas kedudukan kedua liga.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu wajib menang kerana mereka ketinggalan tiga mata di belakang Kedah susulan kekalahan 0-2 di tangan KL City, Sabtu lalu.

Selain impian memintas di kedudukan kedua, menamatkan badi lapan tahun tidak pernah menang ke atas Sang Kenari dalam aksi Liga Malaysia (Liga M) turut dilihat menjadi motivasi buat pemain Sang Badak.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan, kali terakhir Sabah menewaskan Kedah dalam perlawanan rasmi Liga M adalah pada Mac 2014 iaitu membabitkan aksi Liga Perdana dan selepas itu mereka tidak pernah menang dalam lapan pertemuan.

Namun, pertembungan kali ini pasti berbeza dengan bekas kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar dan pemain pertahanan, Rizal Ghazali kini bersama skuad Badak.

Dua pemain ini boleh dianggap sebagai senjata yang akan digunakan Kim Swee untuk mengorek rahsia kelemahan Sang Kenari dengan pengalaman pernah beraksi bersama pasukan bimbingan Aidil itu.

Sementara itu, Negeri Sembilan yang masih belum tewas dalam liga musim ini turut berpeluang untuk memotong Sabah dengan syarat mereka menang ke atas KL City dan anak buah Kim Swee pula tewas atau seri berdepan Kedah.

Malah, KL City yang kini berada di kedudukan kelima (tidak termasuk aksi lain malam tadi) juga pasti mempunyai impian sama untuk terus melangkau ke tangga ketiga jika mereka berjaya menewaskan Negeri Sembilan dan Sabah pula mengalami kekalahan.

sumber:- BH

Jika itu terjadi, skuad kendalian Bojan Hodak juga akan meraih status pasukan pertama yang berjaya menamatkan rekod tanpa kalah anak buah K Devan musim ini.