Sukan

TFC ‘sekolahkan’ Selangor FC

Terengganu FC (TFC) meneruskan rentak kemenangan apabila berjaya mel3maskan Selangor FC 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, skuad Penyu mengumpul enam mata hasil empat perlawanan dengan mendaki satu anak tangga di kedudukan ketujuh manakala Selangor FC turun satu anak tangga di kedudukan kelapan liga.

Skuad bimbingan Nafuzi Zain yang menurunkan striker kelahiran Ivory Coast, Kipre Tchetche bagi menggantikan Kpah Sherman yang digantung satu perlawanan akibat kad merah bermula dengan aksi agresif untuk membvru jaringan.

Hasilnya pada minit ke-20, Faisal Halim yang mendapat umpanan dari Tchetche dalam kotak penalti berjaya memperdaya dua pertahanan The Red Giants sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid untuk pasukannya mendahului 1-0.

Skuad pelawat yang menurunkan penyerang utamanya, Herlison Caion hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-26, namun rembatannya sedikit sipi di sebelah kanan pintu gol tuan rumah yang dikawal Rahadiazli Rahalim.

Skuad tuan rumah juga berpeluang untuk menambah jaringan kedua apabila pemain sayap, Syafik Ismail melakukan rembatan mengelirukan pada minit ke-37 yang hanya melintasi pintu gol pelawat.

Peluang kedua terbaik dimiliki skuad kendalian Michael Feichtenbeiner pada minit ke-43 menerusi tandukan Shahrel Fikri Md Fauzi hasil hantaran lintang Quentin Cheng, namun sedikit tersasar.

Bersambung babak kedua, Selangor FC sekali lagi hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan dari luar kotak penalti pemain gantian, Muhammad Syahir Bashah pada minit ke-51 yang sedikit tersasar. Begitu juga rembatan daripada Yazan Mousa Mahmoud seminit kemudian berjaya ditampan Rahadiazli yang berada dalam keadaan bersedia.

Pada minit ke-59, TFC dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, Zulkarnain Zakaria selepas pertahanan pelawat, Yazan Mousa menjatuhkan Syafik.

Tchetche yang mengambil sepakan penalti itu bijak memperdaya penjaga gol untuk pasukannya mendahului 2-0.

sumber:- HM

Pada minit ke-79, Manuel Ott terlepas peluang untuk menambah jaringan ketiga pasukannya apabila rembatan dalam kotak penalti sedikit tersasar dan kedudukan itu kekal hingga wisel penamat ditiup.