Sukan

Tolong jangan hukum kami

Pemain sayap kiri Terengganu FC (TFC), Syafik Ismail, meletakkan harapan tinggi agar dia dan rakan sepasukannya tidak di ‘gam’ daripada beraksi bersama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, walaupun belum melapor diri dalam kem latihan kendalian Brad Maloney itu.

Pemain kelahiran Marang itu berkata, kegagalan melaporkan diri ke kem skuad kebangsaan bukan sengaja dilakukan, sebaliknya khidmatnya dan empat rakan sepasukan diperlukan dalam aksi Liga Super terutama menentang Selangor FC, malam esok dan aksi pusingan pertama Piala FA berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC), Jumaat depan.

Syukur dan terima kasih kepada Maloney kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada saya untuk menyarung jersi skuad kebangsaan lebih-lebih lagi penampilan pertama dan terakhir saya di pentas Sukan Sea kerana umur sudah memasuki 22 tahun.

Panggilan ini kali kedua selepas kempen kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia 2021 dan saya meletakkan harapan tinggi agar terpilih menyarung jersi skuad kebangsaan.

“Setakat ini, kami tidak dapat melaporkan diri kerana mahu memberi komitmen terlebih dahulu kepada pasukan TFC men3ntang Selangor FC dan NSFC FC minggu depan,” kata Syafik ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia dan pemain lain mengharapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat melanjutkan tarikh melapor diri dan pada masa sama jurulatih kebangsaan tidak menyekat mereka.

Katanya, dia menyerahkan kepada majikan untuk membuat keputusan terbaik dan pada masa sama percaya barisan jurulatih skuad kebangsaan mempunyai pendekatan terbaik bagi menyelesaikan perkara itu.

Pandangan sama diluahkan pertahanan kanan TFC, Muhamad Azam Azmi Murad, 21, yang mengharapkan FAM dapat melanjutkan tarikh melapor diri kerana komitmen bersama pasukan diwakilinya.

Selain itu kami mengharapkan Maloney tidak menyekat kami yang belum melapor diri beraksi bersama skuad kebangsaan.

Ini panggilan kali pertama mewakili negara dalam skuad Sukan Sea, sudah tentu saya teruja dapat membantu pasukan kebangsaan dalam pentas itu nanti.

“Namun saya tidak mahu mendahului majikan, terserah kepada pihak pengurusan untuk memutuskan situasi ini walaupun saya begitu teruja disenaraikan dalam kem latihan skuad kebangsaan,” katanya.

sumber:- HM

Selain dua pemain itu, tiga lagi pemain utama TFC yang terpilih menyertai kem latihan skuad kebangsaan termasuk penjaga gol utama, Rahadiazli Rahalim, Muhammad Hairiey Hakim Mamat dan Nik Akif Syahiran Nik Mat.