Sukan

Segala dakwaan di media sosial status Perak FC Akhirnya terjawab

Perak FC masih kepunyaan Impact Media & Communication Sdn Bhd (IMC), sekali gus menolak dakwaan kelab itu dijual kepada ‘tuan baru’, JR Resources seperti tular di media sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif IMC, Muhammad Yunus Zakariah ketika dihubungi Arena Metro berkata, perbincangan lanjut masih berjalan dengan JR Resources yang menunjukkan minat mendalam untuk membeli Perak FC dalam masa terdekat.

Menurutnya, pihak JR Resources sudah menyerahkan draf dokumen perjanjian, hari ini, namun terdapat beberapa perkara tidak konsisten yang dibincangkan pada Isnin lalu selain isi penting bercanggah dalam surat tawaran sebelum ini.

Katanya, antara perkara ‘pokok’ yang menjadi perhatian IMC adalah jadual pembayaran tunggakan gaji membabitkan pemain dan pegawai yang tidak dimasukkan dalam terma dan syarat draf perjanjian itu.

Kalau boleh, kami memang nak lepaskan dan beri kepada pemilik baru. Tapi ada beberapa perkara dalam dokumen perjanjian kami lihat tidak dimasukkan seperti jadual pembayaran gaji tertunggak pemain.

Dalam perbincangan dan surat tawaran sebelum ini, mereka (JR Resources) ada sertakan jadual pembayaran.

Jadi kami meminta peguam kami untuk sertakan jadual pembayaran dalam draf perjanjian dan buat masa ini, perbincangan masih diteruskan dengan mereka.

“Seperti dinyatakan sebelum ini, kami memang sedia untuk lepaskan Perak FC, tetapi biarlah dengan cara betul agar masalah sama tidak berulang lagi,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, nasib skuad The Bos Gaurus umpama ‘telur di hujung tanduk’ apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi tempoh sehingga hujung bulan ini bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain musim lalu dan musim ini yang dianggar berjumlah jutaan ringgit.

sumber:- HM

Sekiranya gagal, Perak FC berisiko disingkirkan daripada saingan Liga Perdana musim ini meskipun sebelum ini hukuman pemotongan tiga mata sudah dilaksanakan.