Sukan

Pan-gon ada di mana – mana

Istilah rehat nampaknya tiada langsung dalam ‘kamus’ pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon apabila terus memantau perkembangan pemain dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) yang kembali bersambung sejak Selasa lalu.

Beliau yang baharu selesai membawa pasukan mengharungi tiga aksi persahabatan di Singapura pada bulan lalu, tidak mengambil cuti lama apabila bergerak ke seluruh negara untuk menilai prestasi pemain tempatan.

Misalnya, pada Sabtu lalu, Pan-gon dilihat berada di Kuantan bagi menyaksikan aksi Liga Super antara Sri Pahang FC dan Petaling Jaya City FC di Stadium Darul Makmur.

Keesokan harinya, jurulatih dari Korea Selatan itu bergerak pula ke Kelana Jaya untuk memantau perlawanan membabitkan Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Nyata Pan-gon dan barisan kejurulatihannya cukup komited dalam mempersiapkan skuad negara menjelang ujian sebenar pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung di Bukit Jalil, Jun ini.

Justeru tidak mustahil kemungkinan beberapa muka baharu akan diserapkan untuk memperkuatkan barisan skuad Harimau Malaya yang menyasarkan untuk layak ke Piala Asia di China, tahun depan.

Malah, Pan-gon pernah menyatakan pasukan negara akan tampil lebih baik dengan corak permainan tersendiri atau lebih tepat gaya permainan ‘Cara Malaysia’.

Satu menang dan satu kalah. Kami berharap untuk membuat kemajuan lebih besar pada masa hadapan.

“Kami akan mencipta identiti untuk pasukan kebangsaan Malaysia yang mencapai kemenangan dengan cara dinamik, agresif dan proaktif ‘The Malaysian way’,” katanya.

sumber:- HM

Dalam tiga aksi persahabatan di Singapura itu, skuad negara menang ke atas Filipina (2-0) dan tewas kepada Singapura (1-2) dalam aksi Tier 1, sebelum meraih kemenangan dengan kelab Albirex Niigata (3-0) dalam aksi tertutup.