Sukan

Vidakovic terima padah

Terlajak perahu boleh diundur, namun terlajak kata, buruk padahnya.

Perumpamaan itu sesuai digambarkan kepada jurulatih Melaka United, Risto Vidakovic apabila dikenakan tindakan tegas kerana menyebar hal dalam kelambu kepada umum sehingga memberi tanggapan negatif kepada skuad Sang Kancil.

Pemilik kelab, Datuk Seri Justin Lim berkata, walaupun Risto sudah memohon maaf atas keterlanjurannya mengeluarkan kenyataan kepada umum, beliau tetap dengan pendirian mahu mengambil tindakan susulan kepada jurulatih itu.

Beliau berkata, tindakan tegas itu bagi memberi peringatan supaya tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan tanpa berbincang terlebih dahulu dengan pihak pengurusan.

Saya sudah banyak berkorban untuk membina pasukan ini dan tidak mungkin akan merosakkannya termasuklah membiarkan pemain tidak dibayar gaji.

Beliau (Vidakovic) mengeluarkan kenyataan tidak benar, walaupun sudah meminta maaf, namun kerosakan yang dibuatnya itu mencalarkan imej Melaka United.

“Pada peringkat awal ini, kami memberinya surat amaran dan tindakan lanjut akan diambil kelak supaya perkara sama tidak berulang,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Vidakovic mendakwa pasukannya tidak bermaya ketika kalah 0-1 kepada Sabah di laman sendiri kerana sudah hampir tiga bulan tidak menerima gaji.

sumber:- HM

Namun, sebenarnya pasukan terbabit hanya tertunggak sebulan saja gaji sebelum pengurusan menyelesaikan hutang terbabit, kelmarin.