Sukan

Tindakan itu adalah wajar — PFAM

PERSATUAN Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) bersetuju dengan hukuman pem0tongan tiga mata terhadap Perak FC susulan kegagalan pasukan Liga Premier itu melunaskan baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi musim 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, hukuman itu adalah tindakan wajar apabila Perak FC telah diberikan masa sebelum ini untuk membayar baki tunggakan gaji pada tarikh pertama ditetapkan badan bebas First Instance Body (FIB) iaitu pada 31 Mac lepas.

Izham berharap hukuman tersebut memberi kesan kepada Perak FC supaya tidak terus mengambil pendekatan ‘lepas tangan’, malah berusaha mencari jalan untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji dalam tempoh ditetapkan bagi mengelakkan hukuman sama berulang.

Pertama sekali, PFAM menyambut baik tindakan serius yang dikenakan kepada Perak FC, dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) telah mengambil langkah tepat dalam perkara ini. Kami berharap isu tunggakan gaji Perak FC untuk dua kelompok (musim ini dan musim lepas) dapat diselesaikan segera.

“PFAM juga telah menghantar aduan bagi tunggakan gaji pemain Perak FC bagi musim 2021 ke peringkat Jawatankuasa Status FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk diperhalusi dengan lebih lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Izham pada masa sama berharap hukuman pemotongan tiga mata dikenakan terhadap Perak FC akan menjadi pengajaran kepada kesemua pasukan dalam saingan Liga Malaysia.

Beliau berkata, hukuman tersebut adalah langkah serius bagi menolak sebarang bentuk kejadian sama berulang, selain sebagai amaran kepada pihak pengurusan untuk mempunyai kemampuan dan kelayakan dalam menguruskan kelab.

“Sewajarnya perkara seperti ini tidak harus berlaku kerana penelitian telah dibuat sebelum pengambilalihan dilakukan oleh pihak kelab,” katanya.

Sebelum ini, Perak FC dikenakan hukuman pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Premier 2022 selepas gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama dan simpanan sehingga November tahun lepas berdasarkan Akuan Berkanun (SD) yang dihantarkan Perak FC bertarikh 15 Disember 2021.

Perak FC diberi masa sehingga tarikh akhir kedua iaitu 14 April untuk menyelesaikan bayaran tunggakan gaji berkenaan dan sekiranya gagal mereka boleh dikenakan hukuman pemotongan enam lagi mata dalam saingan Liga Premier dan pengurangan dana.

sumber:- SH

Sekiranya masih gagal berbuat demikian sehingga 21 April, MFL akan memanjangkan kes tersebut kepada FIB untuk tindakan lanjut. – Bernama