Sukan

Safiq Rahim laung keyakinan penuh

Tonggak berpengalaman skuad kebangsaan, Safiq Rahim menganggap tiga aksi persahabatan di Singapura memberi impak positif buat Harimau Malaya menjelang kempen kelayakan Piala Asia 2023, Jun depan.

Perancang tengah berusia 35 tahun itu menjelaskan tempoh bersama skuad kebangsaan sejak 14 Mac lalu membolehkan barisan pemain lebih memahami apa kehendak ketua jurulatih, Kim Pan Gon.

Malah, bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut berpandangan bahawa pasukan kebangsaan mampu pergi lebih jauh berdasarkan persembahan yang ditampilkan semua pemain.

Tiga perlawanan persahabatan di Singapura ini kita banyak pelajari benda yang baharu, kita banyak meningkat dari segi cara permainan pasukan kebangsaan.

Jadi, ia satu persiapan yang baik untuk pasukan kebangsaan menghadapi kelayakan Piala Asia pada Jun nanti. Saya harap pasukan kebangsaan dapat memberi keputusan yang baik di kelayakan Piala Asia.

“Kami lebih positif sekarang, jadi saya harap semua yang terbabit dengan pasukan kebangsaan akan bagi yang terbaik, bagi 100 peratus untuk kempen kelayakan nanti,” katanya.

Dalam aksi persahabatan di Singapura, Harimau Malaya berjaya meraih kemenangan 2-0 ke atas Filipina, Rabu lalu sebelum tunduk 1-2 di tangan Singapura, Sabtu lalu.

Anak buah Pan Gon menamatkan aksi persahabatan di Singapura dengan kemenangan apabila dilaporkan menewaskan pasukan kelab, Albirex Niigata Singapura 3-0, semalam.

sumber:- BH

Harimau Malaya akan menjadi tuan rumah kempen kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E dan akan men3ntang Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh di Kuala Lumpur, Jun depan.