Skuad Harimau Malaya kini pada landasan tepat menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung di halaman sendiri Jun ini, dengan kebanyakan pemain negara berada dalam ‘mood’ positif dan bersedia untuk menggegar kempen kelayakan itu.

Ia disuarakan pemain tengah kebangsaan, Safiq Rahim yang mengakui kem latihan sepanjang 10 hari serta tiga aksi persahabatan di Singapura berjaya membuahkan hasil.

Katanya, banyak input baru yang diraih barisan pemain negara di bawah kendalian Kim Pan-gon yang menekankan corak permainan pantas dan berintensiti tinggi.

Syukur Alhamdulillah dengan kita punya persiapan untuk pasukan kebangsaan berjalan dengan baik… dengan pengendali yang baru untuk pasukan negara jadi dalam 10 hari ini kita banyak pelajari benda-benda yang baru untuk pasukan kebangsaan.

Jadi saya punya pandangan Insya Allah, pasukan ini boleh pergi jauh dengan pengendali yang baru di mana kita lebih memahami dan faham apa kehendak beliau.

“Untuk tiga aksi persahabatan di Singapura ini, kita dapat pelajari benda-benda baharu, kita banyak meningkat dari segi cara permainan pasukan kebangsaan punya permainan, jadi ia persiapan yang bagus untuk skuad negara berdepan Kelayakan Piala Asia Asia pada Jun nanti,” katanya.

Ujar tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu lagi, dia mahu pemain berikan komitmen 100 peratus apabila pusingan kelayakan itu bermula kelak, dengan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh.

“Saya harap kita dapat memberi sesuatu keputusan yang baik di kelayakan akan datang. Kita lebih positif sekarang dalam pasukan, saya harap semua yang terlibat dalam skuad negara ini akan beri yang terbaik dan beri 100 peratus untuk skuad negara di kempen kelayakan bulan Jun, Insya Allah,” katanya.

Sepanjang tiga aksi persahabatan di Singapura, skuad negara menang ke atas Filipina 2-0 dan 3-0 dengan kelab Liga Singapura, Albirex Niigata.

sumber:- HM

Bagaimanapun, rekod bersih yang diharapkan sedikit tercalar apabila tewas 1-2 kepada pasukan tuan rumah yang dibimbing jurulatih sementara, Nazri Nasir.