Pemain kacukan negara, Dion Cools akui skuad Harimau Malaya kini tampil berbeza dengan corak permainan lebih meyakinkan selepas berjaya menundukkan pasukan Filipina 2-0 pada aksi persahabatan Siri Tiga Negara di Stadium Nasional, Singapura, malam tadi.

Baginya, kemenangan itu cukup bermakna apatah lagi selepas skuad negara kini di bawah tunjuk ajar jurulatih baharu dari Korea Selatan, Kim Pan-gon.

Katanya lagi, falsafah permainan yang lebih tersusun diperaga rakan sepasukan disamping tekanan yang diberikan sepanjang permainan kepada pihak lawan menyaksikan skuad The Azkals gagal memberi tentangan.

“Setiap jurulatih mempunyai filosofi yang tersendiri. Jenis tekanan yang berbeza ketika memegang bola dan cuba untuk mencipta gerakan. Semua berjalan lancar hari ini (semalam). Satu persembahan yang cukup cemerlang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Dalam aksi itu, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid membuktikan minit permainan yang kurang di peringkat domestik tidak langsung mengganggu prestasinya apabila berjaya meledak dua gol buat skuad Harimau Malaya.

Dua gol itu masing-masing dijaringkan seawal minit ketiga serta minit ke-24 buat memberi am@ran bahawa skuad negara bakal bangkit di bawah kendalian Pan-gon selepas mengambil alih daripada Tan Cheng Hoe pada Februari lalu.

Cools, 25, yang kini beraksi bersama kelab Belgium, Zulte Waregem memuji sikap positif rakan sepasukan yang beraksi bak ‘Harimau Lapar’ sekali gus berjaya memadamkan rekod 15 tahun tanpa kemenangan ke atas Filipina itu.

Malah, kemenangan itu juga mengejutkan ketika lawan kini menghuni tangga ke-129 dunia berbanding Malaysia di kedudukan 154.

“Pemain dan staf pasukan bekerja dengan keras. Saya mengharungi perjalanan yang panjang untuk sampai ke sini. Ia satu hari yang baik untuk negara ini,” katanya.

sumber:- HM

Selepas ini, skuad negara akan turun sekali lagi dalam saingan tiga penjuru itu dengan menentang Singapura di venue yang sama Sabtu ini, sebelum menutup siri aksi persahabatan dengan bertemu kelab Liga Singapura, Albirex Niigata, Isnin depan.