Sukan

Pan Gon sudah ada kapten skuad Malaysia

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon, sedang mempertimbangkan empat calon yang akan menyarung lilitan kapten Harimau Malaya menjelang Kejohanan Tiga Negara di Singapura bermula esok.

Menurutnya, keempat-empat pemain itu telah menunjukkan sikap kepimpinan yang baik sepanjang kem latihan pusat skuad kebangsaan.

Pan-gon, ketika ditemu bual Nadi Arena sewaktu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini berkata: “Kami akan mencuba membahagikan pemain berdasarkan berpengalaman, umur dan posisi.

Semalam saya ada berjumpa dengan empat calon kapten dan saya amat menghargai sikap profesional mereka yang amat baik.

“Mereka mendorong pemain kami untuk bermain baik dan mempamerkan sesuatu yang amat baik, jadi saya menghargai sumbangan empat pemain ini dan saya menjangkakan mereka mampu meneruskan perkara itu,” katanya.

Dalam pada itu, Pan-gon turut menjelaskan bahawa keputusannya untuk menggugurkan tiga pemain, iaitu Shio Hong Wan, Shahrul Nazeem Zulpakar dan Hakimi Abdullah, adalah disebabkan faktor fizikal dan kecergasan.

Saya fikir ia juga adalah disebabkan faktor keadaan (kecergasan), di mana ada daripada mereka kelihatan tubuhnya tidak dapat menghadapi perlawanan kali ini.

Jadi, kami cuba untuk melindungi pemain dan kami membantu mereka untuk pulang ke kelab masing-masing bagi menjalani pemvlihan.

“Tiada sebab selain itu, mereka telah melakukan yang terbaik dan telah menunjukkan komitmen dan sikap profesional tetapi atas faktor kecergasan, di mana mereka berasa sedikit ketidakselesaan, jadi mereka tidak dapat bersama pasukan,” katanya.

sumber:- SA

Malaysia akan memulakan saingan di Singapura dengan berdepan Filipina malam esok sebelum menghadapi tuan rumah tiga hari kemudian.