Sukan

Nasib Rizal Ghazali akhirnya temui kata putus

Nasib bekas pertahanan Harimau Malaya, Rizal Ghazali sama ada dikenakan hukuman atau sebaliknya selepas menolak panggilan skuad Harimau bermula 14 Mac lalu akan diketahui esok.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar yang berkata, perkara terbabit akan ditentukan selepas mengadakan perbincangan.

“FAM akan mengadakan mesyuarat esok dan membuat keputusan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, hari ini.

Sebelum ini, FAM mengesahkan sudah menerima surat makluman daripada bekas pemain Kedah yang kini bersama Sabah FC itu, Jumaat lalu dengan alasan masalah k3sihatan dihadapi keluarganya.

Rizal sebelum ini memberi bayangan penolakannya menyertai kem latihan skuad kebangsaan disebabkan kesihatan ayahnya. Situasi terbabit dikongsi pemain berkenaan menerusi laman instagramnya sekali gus menjawab persoalan dia terpaksa mengambil keputusan menolak panggilan skuad kebangsaan.

“Semoga sihat seperti biasa, jauh mana pun tetap anak mu berdoa Amin,” tulis Rizal di Instagramnya.

Rizal yang diletakkan dalam senarai menunggu menyertai kem latihan Harimau Malaya bagi perlawanan persahabatan di Singapura bermula hari ini menolak pelawaan bagi menggantikan Syahmi Safari yang memohon pengecualian susulan kelahiran bayi kembar tiganya.

sumber:- HM

Tempat Rizal kemudian diganti pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee.