Manjung City FC tidak dapat mengekalkan rekod 100 peratus mereka apabila diikat Tun Razak City FC 1-1 pada perlawanan keempat Liga M3 di Stadium UKM, Bangi semalam namun mereka bersyukur kerana terpaksa melalui banyak dugaan menjelang aksi itu.
Selepas empat perlawanan, kelab amatur dari Perak itu masih berada di tangga teratas Kumpulan A Liga M3 dengan 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu seri, semuanya gara-gara sepakan penalti yang diterima pasukan tuan rumah pada minit ke-75 dan disempurnakan oleh Syafiq Redzuan.
Pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi penyerang berbisa mereka Saifuddin Khairil Anuar pada minit ke-25.
Alhamdulillah. Walaupun hanya satu mata, tapi mata di gelanggang lawan amat berharga. Manjung City FC masih lagi belum tewas, terima kasih kepada semua penyokong Manjung City FC di Stadium UKM Bangi mahu pun yang tidak berada di stadium. Terima kasih atas doa kalian,” menurut catatan di laman Facebook kelab itu.
Dalam satu lagi perkongsian, kelab itu mendedahkan beberapa dugaan dihadapi mereka sebelum perlawanan itu.
Banyak dugaan yang dihadapi pasukan Manjung City FC untuk menghadapi perlawanan menentang Tun Razak City bermula dengan kehilangan datuk kepada pemain Wan Muhammad Izzat Wan Zaidi pada Khamis dan pada malam Jumaat, ketua pasukan Faizzwan Dorahim terpaksa meninggalkan pasukan untuk kembali ke Perak kerana dapat perkhabaran ayahanda beliau dimasukkan ke ICU (unit rawatan rapi).
“Berita menyedihkan seterusnya, hanya beberapa jam sebelum sepak mula, ketua jurulatih, Rafae Isa pula terpaksa meninggalkan pasukan kerana mendapat perkhabaran ibu mertua beliau men!nggal dvnia.
“Begitulah rencah perjalanan pasukan Manjung City minggu ini. Semoga semuanya tabah mengharungi dugaan ini,” menurut catatan itu.
sumber:- HM
Selepas ini, kelab bergelar ‘The Ocean Rage’ itu berdepan tugas getir apabila bertemu pasukan ternama Liga Super, Sri Pahang pada pusingan pertama Piala FA yang tertangguh disebabkan C0vid-19 di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada malam Rabu ini.