Sukan

Bukan sebab JDT Kalah kepada KL City — TMJ

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menepis tuduhan netizen yang mendakwa usaha beliau menukar padang di Stadium Nasional, Bukit Jalil susulan kekalahan Johor Darul Ta’zim (JDT) di tangan KL City FC pada final Piala Malaysia musim lalu.

Sebaliknya, pemilik JDT itu menegaskan usahanya menukar `cowgrass’ kepada `zeon zoysia’ di gelanggang rasmi skuad kebangsaan Malaysia itu adalah bagi menaikkan lagi kualiti padang, sesuai dengan status Stadium Nasional.

Katanya, rekod musim lalu membuktikan JDT tidak pernah tewas di gelanggang lawan selain di final Piala Malaysia walaupun majoriti rumput di stadium yang digunakan pasukan Liga Malaysia (Liga M) adalah jenis cowgrass.

Majoriti stadium dalam Malaysia guna rumput cowgrass, di Kedah cowgrass, di Selangor cowgrass, semua tempat cowgrass pun kita menang juga. Cuma itu satu perlawanan (final Piala Malaysia) kita kalah dan tiada kena mengena dengan benda itu (tukar padang).

Kita cuma nak ada kualiti bola sepak di mana bukan sahaja JDT, semua pasukan termasuk skuad kebangsaan dapat bermain bola sepak moden sebab kalau kita tengok, kita amat kekok apabila bermain di luar negara.

Kalau kita boleh samakan semua padang, apabila dapat panggilan skuad kebangsaan, pemain pun tidak kekok untuk ikut cara bagaimana jurulatih perlukan mereka beraksi.

“Jadi tiada kena mengena dengan JDT kalah di sini (Stadium Nasional). Satu lagi kita kalah dengan Terengganu, tapi itu pun kita kalah dekat stadium kita sendiri (Stadium Sultan Ibrahim),” katanya pada sidang media selepas melawat Stadium Nasional, semalam.

sumber:- BH

Projek penukaran padang yang ditaja Tunku Ismail itu dijangka bermula Januari tahun depan dan mengambil tempoh sekurang-kurangnya empat bulan untuk siap dengan nilai perbelajaan antara RM1.2 juta hingga RM1.4 juta.