Bekas kapten skuad negara, Safiq Rahim mengingatkan kepada mana-mana pemain supaya menghormati panggilan skuad kebangsaan apabila memperoleh peluang sedemikian.

Jelas pemain berusia 34 tahun itu, tidak ramai pemain berberpeluang menyarung jersi skuad kebangsaan dan ia seharusnya dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Bagi saya jika kita terpilih menyertai pasukan kebangsaan selepas ini berilah yang terbaik untuk pasukan negara. Kita ada ramai pemain di Malaysia dan kita pula di antara 30 atau 25 pemain yang terpilih. Itu satu penghormatan kepada kita.

“Jadi seperti saya katakan tadi, berilah yang terbaik kepada pasukan negara dan mungkin boleh ketepikan sedikit sebarang masalah peribadi,” kata pemain Johor Darul Ta’zim itu.

Tidak menuding jari kepada mana-mana pemain, Safiq menambah mereka yang menolak menyertai skuad kebangsaan mungkin mempunyai alasan tersendiri.

“Saya tak salahkan sesiapa, kita sebagai pemain mungkin ada alasan sendiri untuk menolak menyertai pasukan negara,” katanya.

Pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali mencetuskan tanda tanya apabila menolak menyertai panggilan skuad kebangsaan di bawah bimbingan Kim Pan Gon tanpa sebarang alasan kukuh.

Rizal dipanggil bagi persiapan skuad kebangsaan menghadapi tiga aksi persahabatan di Singapura menentang Filipina pada 23 Mac ini serta tuan rumah tiga hari kemudian dan Albirex Niigata Singapura (28 Mac).

sumber: HM

Untuk rekod, kali terakhir Safiq menyarung jersi Harimau Malaya adalah pada Kelayakan Piala Asia 2019 yang berlangsung pada 2017 lalu.