Sukan

Nafi mahu pilih rumput

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi jaminan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa kementeriannya akan memastikan bahawa padang di Stadium Nasional Bukit Jalil diselia dan dijaga dengan baik.

Katanya beliau akan memastikan penggunaannya untuk aktiviti sukan terlaksana, dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga akan bekerjasama rapat dengan Pengurusan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi tujuan itu.

“Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail, atas kurniaan penajaan penanaman rumput di Stadium Nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sesungguhnya kurniaan penajaan Tunku bagi memastikan Stadium Nasional mempunyai padang yang mampu berfungsi untuk perlawanan antarabangsa amat bermakna buat seluruh pencinta bola sepak tempatan; khasnya kepada para pemain negara.

“Ini khasnya setelah Stadium Sultan Ibrahim, yang digunakan Pasukan JDT terbukti bertaraf antarabangsa serta diselia rapi,” tambahnya.

Menerusi ciapan di Twitternya, Ahmad Faizal turut menafikan tajuk laporan sebuah portal yang menggambarkan konon pihaknya akan menentukan sendiri jenis rumput bagi Stadium Nasional, selain meminta supaya pengendali akaun portal berkenaan untuk membetulkan tajuk artikel itu.

“Umum tahu hasrat mulia TMJ @HRHJohorII (Tunku Ismail) untuk taja kos penanaman rumput baharu di Stadium Nasional yang kita sambut dengan hati terbuka.Tapi saya tidak pernah sebut untuk tentukan sendiri jenis rumput kelak,” menurutnya.

Beliau turut berkongsikan artikel asal daripada Bernama bertajuk ‘Stadium Nasional: KBS Hargai Penajaan TMJ, Belum Ada Hitam Putih’ di pautan asal

Terdahulu, Tunku Ismail, yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), dalam satu hantaran menerusi laman Twitter bertitah baginda ikhlas untuk menaja kos penanaman rumput baharu di Stadium Nasional.

TMJ turut bertitah baginda berkenan untuk melawat SNBJ di sini pada 19 Mac depan selain berkongsi kos serta penyelenggaraan rumput baharu di stadium berkenaan tidak melebihi RM240,000 setahun.

Khamis lepas, Tunku Ismail menerusi kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers bertitah mahu menanggung kos pertukaran rumput ‘Cow Grass’ ke jenis ‘Zeon Zoysia’, sama seperti di Stadium Sultan Ibrahim milik JDT di Iskandar Puteri, sebagai hadiah kepada skuad Harimau Malaya.

Sementara itu Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon bakal mengadakan latihan selama lapan hari bermula 14 Mac (Isnin), untuk menghadapi Siri Tiga-Negara FAS 2022 berdepan Filipina pada 23 Mac dan tuan rumah Singapura (26 Mac).

sumber:- BH

Pasukan kebangsaan juga akan beraksi dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil bertemu pasukan ranking ke-134 dunia Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti aksi men3ntang Bahrain (89) pada 11 Jun dan Bangladesh (186) pada 14 Jun.