Sukan

Ianya sudah terbukti — TMJ

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan bahawa niat beliau ikhlas untuk membantu menaik taraf padang di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menerusi satu komen di laman Instagram menjelaskan beliau tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya hasratnya itu tidak diterima.

Beliau juga memaklumkan akan melawat stadium berkenaan pada 19 Mac ini dan berkongsi mengenai kos untuk padang dan penyelenggarannya.

“Niat saya ikhlas untuk membantu. Rumput Zoysia di Stadium Sultan Ibrahim sudah terbukti. Tetapi kalau tidak diterima, saya tidak boleh buat apa-apa.

“Saya juga akan melawat SNBJ (Stadium Nasional) pada 19 Mac. Saya akan kongsikan kos untuk padang baru dan kos ‘maintenance’ setahun tidak melebihi RM240,000,” tulisnya.

Khamis lalu, TMJ menerusi kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers memaklumkan mahu menaja kos penanaman rumput jenis ‘Zeon Zoysia’, sama seperti di Stadium Sultan Ibrahim milik JDT sebagai hadiah kepada skuad Harimau Malaya.

Bagaimanapun, semalam media melaporkan bahawa difahamkan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) belum memutuskan jenis rumput bakal digunakan, kerana menunggu laporan daripada sebuah universiti tempatan mengenai jenis rumput paling sesuai bagi stadium itu.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menghargai hasrat TMJ untuk menaja kos penanaman rumput baharu di gelanggang rasmi bagi pasukan kebangsaan, Harimau Malaya itu.

Namun, media juga melaporkan bahawa menurut sumber dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sehingga semalam masih belum ada apa-apa hitam putih antara kementerian dan TMJ.

TMJ di Instagram hari ini bagaimanapun berkongsi surat rasmi bertarikh 11 Mac yang dikemukakan pihaknya kepada Ahmad Faizal mengenai hasrat beliau untuk menaja kos penanaman rumput di Stadium Nasional.

sumber:- BH

Surat berkenaan turut menerangkan mengenai kepakaran sebuah syarikat dalam menanam rumput jenis Zeon Zoysia yang mana khidmat syarikat sama turut digunakan pihak Stadium Sultan Ibrahim.