Penang FC dan Melaka United mengutip mata pertama musim ini selepas masing masing terikat 1-1 pada aksi di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.
Sekalipun sekadar berkongsi satu mata namun setidak-tidaknya keputusan ini dilihat lebih baik berbanding kekalahan yang dilakar mereka pada aksi pertama, minggu lalu.
Tidak lagi bertahan seperti di Stadium Sultan Ibrahim, skuad ‘Harimau Kumbang’ terus ‘men3rkam’ sejak awal permainan dengan percubaan terbaik mereka menerusi sepakan percuma Rafael Vitor yang terkena tiang pada minit kelima.
Kesilapan Penang yang kehilangan bola dalam kawasan sendiri nyaris dihukum Melaka namun tindakan Khatul Anuar yang pantas untuk keluar berjaya menafikan peluang Sony Norde daripada membuka jaringan.
Tekanan awal yang diberikan tuan rumah berhasil selepas hantaran lolos Faiz Mazlan menemui Danial Ashraf yang masuk ke dalam kotak penalti sebelum menyudahkannya dari sudut sukar untuk gol pertama Penang pada minit ke-26.
Melaka yang lebih banyak ‘senyap’ pada babak pertama memanfaatkan sepakan sudut pada minit ke-40 apabila tandukan Ahmad Haziq Ahmad Puad terkena Abdul Latiff Suhaimi lalu menerjah gawang sendiri untuk gol penyamaan.
Bersambung babak kedua, Penang nyaris kembali di depan selepas tandukan Hilal Al Helwe mengelirukan Norazlan Razali namun bola diselamatkan Ahmad Haziq di atas garisan bagi memastikan keputusan 1-1 tidak berubah pada minit ke-46.
Ketangkasan Khatul menyelamatkan gawang Penang selepas Melaka cuba ‘mengetuk’ pintu gol tuan rumah menerusi rembatan deras Hasbullah Abu Bakar pada minit ke-65 sebelum Ariff Ar Rasyid menafikan peluang Sony Norde di hadapan gawang gol PFC, 10 minit kemudian.
sumber : BH
Penang terus cemas di penghujung permainan apabila Ifedayo Olusegun mendapat bola dalam kotak penalti namun tendangan penjaring terbanyak Liga Super musim lalu itu ditepis Khatul.