Teka-teki siapa pemain import yang bakal menggalas cabaran Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini akhirnya terjawab.

Bagaimanapun daripada lima pemain berkenaan, nama striker kelahiran Ghana, Jordan Mintah tiada dalam senarai skuad kendalian Nafuzi Zain itu.

Mintah yang sebelum ini melahirkan hasrat untuk beraksi bersama skuad Penyu terpaksa menangguhkan dulu impiannya itu selepas disenaraikan dalam pasukan kedua, Terengganu FC II (TFC II) yang juga skuad diwakilinya sejak dua musim lalu.

Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd dalam sesi memperkenalkan jersi, pemain dan penaja semalam mengumumkan striker kelahiran Liberia, Kpah Sherman mengetuai senarai pemain import dalam pasukan utama itu.

Turut tersenarai bekas striker TFC 2018/2019 kelahiran Ivory Coast, Kipre Tchetche selain dua muka baharu iaitu Pape Diakite (Senegal) dan Manuel Ott (Filipina) serta pemain musim lalu, Habib Haroon.

Pemain import TFC II, selain Mintah, pasukan kendalian Badrul Afzan Razali itu turut diperkuatkan pemain kebangsaan Filipina, Luke Woodland, Argzim Redzovic (Montenegro) dan pemain terbaharu dirantai Selasa lalu, Petrus Shetembi dari Namibia.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata walaupun empat pemain import berkenaan bakal beraksi bersama pasukan TFC II, mereka masih berpeluang untuk menyarung jersi TFC.

“Kita mendaftarkan empat pemain import itu dalam pasukan TFC II bukan bermakna mereka tidak boleh beraksi dengan pasukan utama. Pemain berkenaan masih boleh menyarung jersi TFC kerana pasukan kedua itu berstatus ‘feeder club’. Jadi pemain bebas bermain dengan mana-mana dua pasukan berkenaan.

Tapi ianya bergantung kepada perancangan barisan kejurulatihan. Jika lima import dalam pasukan utama gagal memperagakan aksi terbaik ataupun dilanda kecederaan serta penggantvngan, pemain berkenaan boleh diganti beraksi dengan pasukan utama,” katanya.

sumber: BH

TFC yang menyasarkan satu piala kejuaraan musim ini bakal membuat perhitungan pertama Liga Super bertemu pasukan jiran, Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 5 Mac ini.