Sukan

Saya sayangkan kelab ini

Christophe Gamel tiada sebarang tekanan sebaik diberi kepercayaan menggalas tugas selaku ketua jurulatih Sri Pahang FC musim ini.

Jurulatih berasal dari Perancis itu berkata, kepercayaan yang diberikan pengurusan kelab akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Saya tiada tekanan dan akan melakukan yang terbaik dan penuh semangat untuk membantu Sri Pahang kerana saya sayangkan kelab ini.

“Saya akan sedaya upaya memberikan sepenuh komitmen dengan sokongan semua terutama pengurusan kelab,” katanya.

Mengulas dua jurulatih import yang pernah membimbing skuad Tok Gajah tidak sampai semusim seperti Ronald Smith dan Thomas Dooley, jurulatih berumur 50 tahun itu menyedari perkara itu.

Katanya, penyokong Sri Pahang sudah pasti mahukan skuad itu mencatat keputusan terbaik dalam saingan liga musim ini.

“Sebagai jurulatih saya kena bersedia dan ketika ini fokus saya adalah membentuk persefahaman dan skuad ini bersedia sebaik liga bermula nanti,” katanya.

Berdasarkan rekod, dua jurulatih iaitu Smith pada 2014 dan Dooley (2021) hanya beberapa bulan melatih skuad itu.

Namun, Gamel yang diberi tanggungjawab selaku ketua jurulatih skuad Piala Presiden hanya menumpukan kepada membentuk skuad yang mantap berbanding musim lalu.

Musim lalu, Sri Pahang menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ke-10 manakala Piala Malaysia pula hanya beraksi di peringkat kumpulan.

sumber:- HM

Bagi musim 2022, skuad Tok Gajah diperkuatkan dengan lima import iaitu Manuel Hidalgo, Mamadou Samassa, Mahmoud Za’tara, Johan Martial dan Billy Ketkeophomphone.