Sukan

Sangkal dakwaan Lim Teong Kim

Ahli jawatankuasa eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan bahawa mereka bukan ‘pak turut” seperti yang digembar-gemburkan oleh bekas pengarah program pembangunan bola sepak negara (NFDP), Lim Teong Kim.

Sebaliknya, keputusan yang dirangka dalam FAM adalah berdasarkan semangat musyawarah di bawah kepimpinan Datuk Hamidin Mohd Amin.

Exco FAM, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, sebagai seorang Ahli Dewan Negara yang membawa suara rakyat, beliau berhak bersuara di peringkat FAM.

Katanya, Exco FAM juga diberi tugasan dan portfolio masing-masing bagi membantu urus setia FAM menyempurna dan melaksanakan keputusan yang dibuat di peringkat jawatankuasa dan pengurusan.

Hamidin tidak mengamalkan kaedah autokratik dalam mengurus FAM.

Sebagai seorang bekas Setiausaha Agung FAM yang memahami cara FAM ditadbir urus, Hamidin tidak berseorangan dalam membuat dasar FAM.

Setiap ahli Exco diberi ruang untuk memberi pandangan masing-masing, biarpun men3ntang arus.

“Exco FAM memiliki pelbagai latar belakang, ada dalam kalangan kami usahawan, ahli akademik, peguam dan tokoh korporat, maka mustahil jika semua menjadi pak turut atau tukang angguk sahaja,” katanya.

Hisamudin menambah, kritikan yang melampau yang ditujukan kepada Hamidin adalah tidak adil memandangkan beliau baru menerajui FAM dari Julai 2018 hingga Mac 2020 sebelum wabak Covid-19 melanda.

Dalam tempoh itu, katanya, pasukan senior negara menduduki tangga kedua di peringkat kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 manakala skuad Bawah 15 tahun negara kendalian P Maniam muncul juara Piala AFF Bawah 15 tahun dan anak didik Bojan Hodak menjuarai Piala AFF Bawah 19 tahun pada 2018 dan muncul naib juara pada 2019.

“Senario ini berubah apabila seluruh keluarga bola sepak negara terjejas, termasuk pemain di semua peringkat akibat jadual pertandingan yang tertangguh atau tergendala disebabkan FAM akur kepada SOP Kerajaan,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM serta Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM.

sumber:- HM

Terdahulu dalam satu temu bual dengan sebuah portal, Teong Kim menyentuh kepimpinan FAM sambil menuduh Exco FAM sekadar akur kepada arahan presiden, selain menegur struktur liga serta perkembangan pasukan kebangsaan.