Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menegaskan beliau akan mengikuti jejak langkah Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim jika pemilik kelab itu membuat keputusan untuk bersara daripada arena bola sepak Malaysia.

Sebelum itu, Tunku Ismail menerusi laman sosial Instagram hari ini bertitah bahawa baginda bersedia untuk meninggalkan bola sepak sekiranya skuad Harimau Selatan tewas kepada Kuala Lumpur (KL) City FC dalam Perlawanan Sumbangsih Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.

Mengulas mengenai komen yang dilontar oleh Tunku Ismail, Mora menegaskan beliau akan berusaha keras meyakinkan tokoh bola sepak negara itu supaya terus kekal dalam industri sukan nombor satu negara ini.

Jelasnya, beliau yakin bahawa bukan sahaja pengikut JDT sebaliknya hampir sebahagian besar penyokong bola sepak tempatan tidak rela Tunku Ismail bersara awal daripada arena bola sepak tempatan.

“Jika TMJ mahu keluar (bersara daripada bola sepak jika tewas kepada KL City), saya pun akan keluar.

Namun kita mengamati maksud sebenar kenyataan TMJ, baginda sebenarnya ingin kemenangan.

Harus diingat TMJ banyak berjasa kepada bola sepak Malaysia baik daripada sumbangan baginda kepada liga, kebangsaan mahupun pembangunan.

Saya sedar ini adalah satu perlawanan sukar dan semua orang mahu menewaskan JDT tetapi saya memiliki tanggungjawab untuk meyakinkan semua orang.

“Apa yang pasti, kami akan berusaha keras untuk kekalkan TMJ (dalam dunia bola sepak negara) buat tempoh lebih lama,” katanya pada sidang media pra Perlawanan Sumbangsih Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim.

Dalam perkembangan sama, pengendali KL City FC, Bojan Hodak turut senada dengan Mora di mana beliau tidak bersetuju Tunku Ismail mengambil keputusan untuk meninggalkan bola sepak dalam tempoh masa terdekat.

Jelas Bojan, KL City FC tetap akan mengekalkan semangat kesukanan dengan memberikan saingan hebat kepada JDT menjelang aksi malam esok tetapi beliau tidak rela melihat Tunku Ismail tiada dalam radar liga tempatan.

Atas padang kami akan bermain dengan sebaik mungkin tetapi kami tidak mahu TMJ meninggalkan bola sepak Malaysia.

“Ini kerana baginda banyak berjasa dan banyak melakukan perubahan bola sepak Malaysia dan kerana beliau industri bola sepak berkembang dan meningkat daripada sudut komersial,” katanya.

KL City FC mengejutkan JDT 2-0 pada final 100 Tahun TM Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, 30 November 2021.

Format Piala Sultan Haji Ahmad Shah musim 2022 tidak lagi menjadi sebahagian dari aksi Liga Super seperti tahun sebelum ini.

Sebagai rekod, JDT adalah juara bertahan Piala Sultan Haji Ahmad Shah memenangi trofi itu sebanyak enam kali sementara Kuala Lumpur, tiga.
sumber:- HM

Musim lalu, JDT menang menewaskan Kedah Darul Aman FC, 2-0, hasil jaringan Safawi Rasid dan Natxo Insa.