Sukan

Sejarah bakal tercipta sekali lagi

KEHANGATAN kancah saingan Liga Malaysia (Liga-M) kembali dirasai menjelang pert3mbungan juara Liga Super lapan kali berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juara Piala Malaysia 2021 Kuala Lumpur (KL) City FC pada perlawanan Piala Sumbangsih esok.

Bagi peminat kedua-dua pasukan, aksi di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor itu umpama ulangan final ulang tahun ke-100 Piala Malaysia musim lepas yang menyaksikan KL City FC mencatat kemenangan bergaya 2-0 untuk merampas kejuaraan daripada JDT selaku juara bertahan.

Selepas memahat sejarah tersendiri dan menamatkan penantian 32 tahun menjuarai Piala Malaysia, perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah memberi peluang kepada skuad The City Boys meraih kejayaan berganda sekali gus membuka kempen Liga-M 2022 dengan sempurna.

Namun, berdasarkan rekod cemerlang di awal musim yang dimiliki JDT termasuk statistik menjuarai perlawanan sumbangsih empat musim berturut-turut sejak 2018 menandakan skuad Harimau Selatan bukan sebuah pasukan yang mudah ditumbangkan pada pertemuan tersebut.

Faktor beraksi sebagai pasukan tuan rumah ternyata memberi kelebihan besar kepada JDT selepas mereka hanya tewas sekali dalam tujuh penampilan terakhir di pentas perlawanan sumbangsih di laman sendiri sejak 2015.

Enam kejuaraan sumbangsih JDT sejak penubuhan kelab itu pada 2013 diraih di laman sendiri – edisi 2015, 2016, 2018 dan 2019 dimenangi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sementara Stadium Sultan Ibrahim menjadi saksi kejayaan mempertahankan kejuaraan edisi 2020 dan 2021.

Pada edisi 2017, hasrat JDT mencipta kejayaan hatrik tidak kesampaian selepas tewas kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Sementara itu, aksi persahabatan men3ntang beberapa kelab antarabangsa antaranya pasukan dari Rusia, Spartak Moscow dalam tempoh latihan pramusim di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini turut memberi kelebihan tersendiri kepada JDT menghadapi musim 2022.

Secara keseluruhan JDT menamatkan aksi perlawanan persahabatan di Dubai dengan merekodkan satu kemenangan ke atas Shabab Al Ahli (UAE), tiga seri masing-masing men3ntang MSK Zilina (Slovakia), Riga FC (Latvia) dan Spartak Moscow dan satu kekalahan di tangan kelab Rusia Rodina Moscow.

Malah, JDT juga diperkuatkan dengan lima muka baharu iaitu pemain pertahanan kebangsaan Muhammad Syahmi Safari, bekas striker beraksi di Liga Itali dan Liga Perdana Inggeris Fernando Forestieri, Bienvenido Maranon (penyerang), Carli de Murga (pertahanan) dan pemain sayap Moussa Sidibe.

Segala kelebihan di atas kertas yang dimiliki JDT namun bukanlah jaminan KL City FC mudah dijinakkan terutama selepas mereka berjaya membuktikan pada pentas final Piala Malaysia skuad bimbingan Benjamin Mora yang dibarisi pemain bintang mampu ditewaskan.

Ketua Jurulatih KL City FC Bojan Hodak sudah pasti memasang impian untuk sekali lagi membawa pasukan mencipta sejarah menamatkan penantian menjuarai perlawanan sumbangsih selepas kali terakhir Kuala Lumpur merangkul gelaran itu pada edisi 2000.

Kejayaan bersejarah itu menjadi azimat terbaik KL City FC untuk mengintai peluang mencatat satu lagi kejutan dengan meraih kemenangan di Stadium Sultan Ibrahim selepas mereka tewas dalam kesemua tiga pertemuan di gelanggang keramat JDT itu sejak dinaikkan ke Liga Super pada 2018.

Seperti JDT, KL City FC turut diperkuatkan dengan muka baharu antaranya pemain pertahanan dari Australia Declan Lambert dan bekas striker Sabah FC Kevin Koubemba selain beberapa pemain muda yang diserapkan ke pasukan utama untuk memberi nafas lebih segar dalam pasukan.

Biarpun rekod atas kertas nyata memihak pasukan tuan rumah untuk merangkul kejuaraan ketujuh, KL City FC mempunyai segala diperlukan untuk mencalar maruah JDT di laman sendiri dengan kedua-dua pasukan perlu memastikan kesilapan di padang berada pada tahap minimum untuk muncul juara.

sumber:- SH

Perlawanan sumbangsih merupakan aksi pembuka tirai Liga-M yang akan bermula 4 Mac ini dan pertembungan edisi ke-38 itu tidak lagi dikira sebagai perlawanan pertama Liga Super.