Sukan

Terima kasih sudi lepaskan lebih awal

Penolong jurulatih skuad Harimau Malaya, E Elavarasan menganggap pelantikannya ke jawatan itu sebagai satu cabaran baharu dalam karier kejurulatihannya.

Beliau yang berpengalaman hampir 19 tahun dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dengan sudah melatih hampir lapan pasukan sememangnya cukup masak dengan asam garam bola sepak tempatan.

Jelas Elavarasan atau lebih mesra di sapa Ela itu, mengakui dirinya tidak pernah terbabit dalam mana-mana pasukan di bawah naungan FAM dan menyifatkan pelantikannya sebagai satu penghormatan.

Saya melihat tugasan ini sebagai satu cabaran dan juga peluang untuk saya menyumbang di peringkat kebangsaan. Saya gembira diberi peluang terbabit dalam projek Pan Gon (ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon).

“Saya berharap semua anggota kejurulatihan di bawah seliaan Pan Gon dapat mencipta keserasian dengan segera untuk menghadapi tugasan utama tidak lama lagi,” katanya.

Sebelum ini, Pan Gon yang dilantik bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya pada bulan lalu mengumumkan kehadiran empat penolong jurulatih luar untuk membantunya.

Mereka ialah Pau Marti dari Sepanyol (penolong jurulatih), Cho Jun Ho dari Korea Selatan (jurulatih penjaga gol), Dr Gokhan Kandemir dari Turki (jurulatih kecergasan) dan Lim Jae Hun dari Korea Selatan (jurulatih analisis prestasi).

Bagi memastikan barisan kejurulatihan bergerak efektif terutama dalam mengesan pemain tempatan yang terbaik serta mengenali budaya bola sepak di negara ini, Pan Gon menambah anggotanya dengan melantik Elavarasan untuk melicinkan lagi pengurusan pasukan.

Dalam perkembangan sama, Elavarasan mengucapkan terima kasih kepada majikannya, Sarawak United yang mencapai kata sepakat melepaskan bekas jurulatih PKNS FC itu.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada majikan saya Sarawak United yang sudi melepaskan saya lebih awal daripada kontrak saya.

“Tidak lupa kepada pemain dan penyokong yang memberi kerjasama kepada saya sepanjang khidmat saya di Sarawak United,” katanya yang pernah membawa PKNS FC muncul naib juara Piala FA pada 2016 selain memenangi Liga Perdana bersama Felda United pada 2010.

sumber:- HM

Skuad Harimau Malaya dijadual memulakan kem latihan pusat pertama mereka di bawah kendalian Pan Gon pada 14 Mac ini bagi menghadapi dua aksi Antarabangsa Tier 1 bertemu Filipina pada 23 Mac dan Singapura pada 26 Mac ini, kedua-duanya di Singapura.