Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang kini bergerak secara profesional memilih syarikat peralatan sukan dari Taiwan, Victor sebagai penaja utamanya.
Perkembangan itu dikongsikan Victor menerusi hantaran di laman Instagram rasmi milik syarikat berkenaan yang mengalukan-alukan kehadiran semula Zii Jia bersama mereka.
“Selamat kembali kepada keluarga Victor. Victor dengan bangganya mengumumkan kerjasama semula dengan bintang Malaysia,” katanya.
Sementara itu, dalam hantaran sama, Zii Jia yang juga pemain nombor tujuh dunia, berkata: “Apa yang paling mengagumkan saya adalah sikap profesional Victor dan dedikasi mereka. Selain itu, kepercayaan yang diberikan mereka membuatkan saya seperti berada di rumah sendiri,” katanya.
Zii Jia, 24, turut mengulang semula hantaran berkenaan di Instastory miliknya, selepas itu.
Bagaimanapun, dalam hantaran berkenaan tidak dimaklumkan mengenai jumlah bayaran yang diterima juara Seluruh England 2021 itu dan tempoh kontrak dengan Victor.
Bulan lalu, pemain berasal dari Alor Setar, Kedah itu memutuskan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi bergerak secara profesional.
Ketika itu, Zii Jia dilaporkan menerima tawaran lumayan daripada sebuah syarikat peralatan sukan dari Taiwan dipercayai Victor yang didakwa menjadi faktor utama dia mahu meninggalkan BAM.
Dia didakwa ditawarkan bayaran sebanyak AS$400,000 (RM1.674 juta) setahun dengan tempoh kontrak selama tujuh tahun dengan nilai keseluruhan sebanyak RM11.718 juta.
sumber:- BH
Victor bukanlah jenama asing buat Zii Jia memandangkan syarikat berkenaan pernah menjadi penaja utama kepada BAM selama enam tahun bermula 2015 hingga 2021.