Sukan

Persoalan timbul bagaimana Perak FC masih dapat lesen

Kegagalan Perak FC menghantar pasukan bertanding Piala Belia dan Piala Presiden jelas menimbulkan persoalan kerana mereka masih tetap mendapat lesen untuk bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M) 2022?

Ini kerana pasukan pembangunan adalah salah satu kriteria yang perlu dipatuhi dalam pelesenan kelab bagi membolehkan setiap pasukan mendapatkan lesen bagi bertanding dalam Liga M.

Bagi menjelaskan kekeliruan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam menyatakan lesen yang diterima semua pasukan untuk bertanding bagi musim 2022 sudahpun diluluskan pada 2021.

Ini bermakna pasukan terbabit sudah pun mematuhi kriteria yang ditetapkan dalam pelesenan kelab yang dijalankan pada 2021 sehingga membolehkan mereka dapat lesen untuk bertanding bagi musim ini.

Bagi 2023, (proses pelesenan) sedang berlaku dan tentu sekali Perak FC akan berdepan kerumitan untuk mendapatkan lesen untuk 2023. Saya boleh jelaskan di sini proses pelesenan akan bermula selepas liga bermula.

“Dengan itu, penyerahan dokumen dan justifikasi semua pasukan akan bermula dalam beberapa minggu ini,” katanya.

Namun, Stuart menjelaskan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa skuad The Bos Gaurus tidak akan mendapat lesen bagi tahun depan susulan kegagalan mereka menghantar pasukan pembangunan untuk musim ini.

Mungkin Perak FC ada percaturan mengenai kriteria pasukan pembangunan di mana kerjasama dengan pasukan lain. Jadi kita tunggu dan saya sudah berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC dan dia katakan perlu selesaikan satu demi satu masalah ketika ini.

“Buat masa ini, kerumitan dalam pengurusan untuk memastikan pendaftaran Liga Perdana dan saya harap pengurusan akan selesaikan isu berkaitan tahun depan selepas ini,” katanya.

sumber:- BH

Sebagai rekod, bukan setakat Perak FC yang tidak menghantar dua pasukan pembangunan ini namun satu lagi pasukan Liga Perdana, Kelantan FC turut sama tidak melengkapkan pendaftaran untuk pasukan Piala Belia mereka.