Sukan

Tukarlah segera sebelum terlambat

APA yang Brad (Maloney) dah buat?”

Itu persoalan yang dibangkitkan bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar ketika diminta mengulas mengenai prestasi skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara kendalian Maloney pada Kejuaraan AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja.

Malah, Azlan turut mempersoalkan kenyataan Maloney yang menyifatkan kejohanan itu sebagai pendedahan kepada barisan pemain muda terutamanya bagi mereka yang pertama kali beraksi di peringkat antarabangsa.

Saya nak tanya Maloney, pendedahan mana yang bagus? Pendedahan mengecapi kemenangan atau pendedahan mengecapi kekalahan? Mana satu yang penting?

Pendedahan itu sebenarnya kita mendedahkan pemain untuk menikmati kemenangan. Jangan kita buat pendedahan dan kita kata kalah pun tak apa… itu salah.

“Sepatutnya kita kena buat pendedahan untuk menikmati kemenangan. Daripada kemenangan itu, pemain-pemain muda negara dapat menilai persediaan yang telah dibuat selama ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Dua kekalahan masing-masing 1-2 dan 0-2 di tangan Laos dalam tempoh empat hari memusnahkan impian skuad B-23 negara menempah tiket separuh akhir.

Pada masa sama, Azlan berkata, Harimau Muda seharusnya memanfaatkan peluang mara lebih jauh apabila dua lagi pasukan dalam Kumpulan B Indonesia dan Myanmar menarik diri.

PKPB: Sathianathan harap pengecualian empat pasukan
Bagaimanapun, beliau memberitahu, kesempatan itu tidak dimanfaatkan, sebaliknya mereka terpaksa menanggung kekalahan memalukan kepada Laos.

“Sebagai jurulatih, Brad seharusnya tahu dan dapat berfikir lebih jauh dan mendahului semua pihak. Jika kekalahan itu berpunca akibat tidak cukup pemain kerana ada positif C0vid-19, beliau harus bersedia awal.

“Dalam situasi C0vid-19 sekarang, beliau perlu sentiasa bersedia dengan pelbagai kemungkinan kerana penyokong bola sepak Malaysia tak mahu tahu alasan tetapi apa yang mereka mahu adalah kejayaan,” ujarnya.

Azlan turut menyelar alasan klise yang sering diberikan mana-mana jurulatih setiap kali skuad bimbingan mereka mengalami kekalahan.

“Kebanyakan jurulatih di negara ini mereka terlalu asyik dengan kenyataan yang mengatakan kita lebih banyak mengawal bola tetapi nasib tidak menyebelahi pasukan.

“Pada saya kalau kawal 100 peratus bola pun tetapi tak boleh cipta peluang gol, tidak ada gunanya kerana dalam bola sepak orang nak tengok jaringan gol.

sumber : SH

“Dalam bola sepak moden, kena cepat hantar bola ke atas untuk jaringkan gol. Jadi saya minta tukarlah segera corak permainan kita sebelum terlambat,” jelasnya.