Sukan

Saya memang kecewa

Penjaga gol skuad Bawah 23 Tahun Kebangsaan (B-23), Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin meluahkan nada kecewa selepas gagal membantu pasukannya layak ke peringkat separuh akhir kejohanan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) Bawah 23 tahun yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja bermula 14 hingga 26 Februari 2022.

Terdahulu pemain berusia 23 tahun kelahiran Kampung Bukit Tunggal, Kuala Terengganu itu mengharapkan penampilan pertamanya di pentas antarabangsa berakhir dengan kegembiraan, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya walaupun pasukannya berpeluang luas untuk melangkah lebih jauh kerana hanya perlu bersaing dengan pasukan Laos sahaja.

Bagaimanapun penjaga gol Terengganu FC II (TFC II) itu menasihatkan dirinya dan rakan sepasukan agar menjadikan kekalahan kepada Laos dalam dua pertemuan itu sebagai pengajaran berharga untuk kembali bangkit selepas ini.

Pemain berketinggian 1.80 meter itu juga turut mengharapkan peminat setia dapat memberikan peluang dan sokongan padu kepada pemain muda negara untuk menebus kekecewaan pada pada aksi akan datang.

Siapa yang tidak kecewa kegagalan pasukan mara ke peringkat separuh akhir kejohanan itu, lebih-lebih lagi tumpas kepada Laos dalam dua perlawanan berturut-turut.

Lagipun perlawanan kedua bertemu Laos itu adalah penampilan pertama saya di pentas antarabangsa, jadi sudah tentu saya mahu merakam detik indah bersama rakan sepasukan.

“Namun apa boleh buat kami tewas, mungkin nasib tidak menyebelahi kami dalam kejohanan ini walaupun rakan sepasukan sudah bekerja keras bermula wisel pertama ditiupkan pengadil sehinggalah minit terakhir perlawanan.

“Semoga kekalahan ini menjadi pengajaran berguna buat kami untuk kembali bangkit dalam kejohanan selepas ini selain pengalaman ini sebagai titik permulaan,” katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Terdahulu Syed Muhammad Nasrulhaq yang mengawal pintu gol negara melepaskan dua jaringan ketika pasukan negara tumpas 0-2 kepada Laos pada aksi kedua selepas tewas 1-2 pada aksi pertama dalam kejohanan itu.

Kekalahan itu menyaksikan pasukan negara bimbingan jurulatih kelahiran Australia, Brad Maloney terpaksa mengucapkan selamat tinggal dalam saingan itu walaupun hanya berdepan Laos dalam peringkat Kumpulan B selepas Indonesia dan Myanmar terpaksa menarik diri berikutan ada pemain mereka dijangk!ti C0vid-19.