Teka-teki berhubung calon penolong jurulatih skuad Harimau Malaya yang bersarang sejak beberapa minggu lalu akhirnya terlerai apabila jurulatih Sarawak United, E Elavarasan dilantik ke jawatan itu.
Pengumuman dibuat sendiri oleh Ketua Jurulatih negara, Kim Pan-gon selepas beliau meneliti beberapa calon tempatan untuk mengisi posisi itu.
Malah, pengesahan itu juga sebenarnya mengiyakan pendedahan Arena Metro sebelum ini yang menamakan Elavarasan sebagai pilihan utama Pan-gon.
Jelas jurulatih dari Korea Selatan itu, pemilihan Elavarasan menepati kriteria utama yang dikehendakinya iaitu seorang jurulatih yang berpengalaman luas dengan senario bola sepak Malaysia dan cukup mengenali pemain-pemain yang sedang beraksi dalam kancah Liga Super dan Liga Perdana.
Selepas meneliti calon-calon yang di temu duga oleh Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell sebelum ini, saya sendiri sudah bertemu Elavarasan untuk menemu duga beliau yang mana saya melihat Elavarasan sebagai calon terbaik dan individu paling sesuai untuk membantu saya dalam memberi informasi tepat, nasihat dan pendapat serta beberapa perkara lain.
“Saya melihat Elavarasan sebagai seorang jurulatih yang jujur, komited dan beliau sedia untuk memberi sepenuh kerjasama dalam usaha membantu kami barisan kejurulatihan baharu ini mengembalikan skuad Harimau Malaya ke satu tahap prestasi yang lebih baik,” kata Pan Gon.
Terdahulu, menerusi laporan akhbar ini, sumber mendedahkan Elavarasan bakal dilantik bagi menyertai barisan kejurulatihan skuad negara.
Pengalaman luas sepanjang 19 tahun dalam Arena bola sepak tempatan meletakkan bekas pemain Selangor itu pilihan hangat, selain sentuhan ajaibnya yang sering menghadirkan elemen kejutan bersama pasukan yang dibimbingnya.
Paling diingati sudah tentunya kejayaan PKNS FC layak ke pentas final Piala FA 2016 sebelum tewas 2-1 di tangan Johor Darul Ta’zim.
Selain itu, beliau juga pernah menghadiahkan kejuaraan Liga Perdana buat pasukan Felda United pada 2010 dan membawa kelab terbabit ke Liga Super.
sumber:- HM
Malah, beliau juga hampir memenangi Liga Perdana pada musim lalu bersama Sarawak United namun seteru utama Negeri Sembilan FC berjaya memintas skuad Elavarasan di hujung saingan.