Sukan

Pening nak pilih

Persaingan sengit ditampilkan tiga penjaga gol Terengganu FC (TFC) membuatkan barisan kejurulatihan skuad itu pening untuk memilih yang terbaik musim ini.

Hakikat itu diakui jurulatih penjaga gol skuad Penyu, Mohd Yazid Mohd Yassin selepas melihat prestasi cemerlang tiga pemain terbabit.

Katanya, persaingan sihat itu dapat disaksikan ketika sesi latihan dan aksi pemanas badan bermula awal musim ini sehinggalah perlawanan persahabatan bertemu PDRM FC malam tadi.

Sejujurnya buat masa ini saya tidak boleh memutuskan lagi siapa bakal menggalas posisi penjaga gol utama pasukan kerana masing-masing memperagakan aksi terbaik dalam perlawanan persahabatan dan sesi latihan.

“Situasi itu sebenarnya begitu positif buat diri pemain itu dan juga pasukan kerana masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri. Sebagai jurulatih penjaga gol, sudah pasti saya terus memberikan semangat dan keyakinan kepada mereka supaya dapat meningkatkan lagi prestasi terbaik menjelang Liga Malaysia (Liga M) awal bulan depan.

“Bagaimanapun, sebelum aksi pertama men3ntang Sri Pahang FC pada 5 Mac di tempat lawan, saya akan memutuskan siapa bakal menggalas tugas di posisi itu kerana sekarang masih lagi dalam proses penilaian dan persiapan terakhir,” katanya ketika dihubungi.

Selain penjaga gol utama musim lalu, Mohd Suhaimi Husin, 28, yang beraksi cemerlang membantu skuad menamatkan saingan Liga Super di kedudukan keempat dan layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia, skuad kendalian Nafuzi Zain itu mempunyai dua lagi penjaga berwibawa.

Penjaga muda berusia 21 tahun dengan ketinggian 1.92 meter, Rahadiazli Rahalim yang pernah dipanggil menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya musim lalu juga boleh disandarkan harapan untuk menjaga gawang.

Begitu juga seorang lagi penjaga gol, Mohd Shamirza Yusoff, 33 yang tidak kurang hebatnya dengan aksi cemerlang ketika bersama skuad Penyu pada tahun sebelum ini.

Walaupun tidak pernah dipanggil menyertai kem skuad kebangsaan, Shamirza mempunyai pengalaman luas bukan sahaja dalam saingan Liga M, malah di pentas Asia kerana pernah beraksi ketika Terengganu layak menyertai kejohanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada tahun 2012 sehingga berjaya melangkah ke pusingan kedua.

sumber:- HM

Musim lalu, skuad itu juga layak beraksi pada pentas Piala AFC, bagaimanapun kejohanan terpaksa dibatalkan AFC selepas ketiadaan negara yang mahu menawarkan diri menganjurkannya sekali gus terpaksa mengucapkan selamat tinggal dalam saingan kedua tertinggi kelab-kelab Asia itu.