Sukan

Jangan nak perlekeh

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa menyifatkan semua pihak tidak wajar memperlekeh impian ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan, Kim Pan Gon untuk membawa skuad Harimau Malaya ke Piala Dunia pada masa depan.

Beliau percaya Pan Gon berani memasang impian besar itu kerana pengalamannya berada dalam sistem bola sepak negaranya iaitu Korea Selatan yang sudah pernah layak ke Piala Dunia.

Katanya, semua pihak terutama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pemain yang akan dipilih mewakili negara perlu bersedia untuk memenuhi permintaan bagi skuad Harimau Malaya mencapai keputusan luar biasa.

Memang orang yang tak ada impian akan meremehkan impian orang untuk meraih pencapaian tertinggi. Kita ini seolah-olah bercerita atau memberi komen bahawa Pan Gon dan negaranya tak pernah layak ke Piala Dunia.

Mereka pernah layak dan masih layak sampai sekarang, maksudnya impian mereka itu tidak mustahil kerana mereka sudah berada di tempat itu. Kita meremehkan impian itu sebab kita tidak pernah berada di situ (Piala Dunia).

“Sudah pasti, kita sepatutnya kena sokong sebab dia membawa cabaran lain dari yang lain. Kalau hanya cabaran biasa-biasa sahaja tak ada perbezaan dan tak ada keunikan daripada yang sebelum ini,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Pada majlis pengenalan jurulatih baharu skuad Harimau Malaya, Sabtu lalu, Pan Gon menjelaskan pasukan dari Asia berkemungkinan akan mendapat sembilan slot beraksi di Piala Dunia pada masa depan dan dia akan melakukan persediaan ke arah itu untuk pasukan kebangsaan.

Kenyataan Pan Gon itu mendapat pelbagai reaksi khususnya dalam kalangan penyokong dengan tidak kurang juga ada yang memperlekeh impiannya untuk membawa Malaysia ke Piala Dunia.

Selain itu, Mohd Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam menegaskan bahawa tidak salah untuk Pan Gon menaruh impian atau meletakkan sasaran tertinggi bersama skuad Harimau Malaya.

Dalam mencapai sasaran tinggi itu mungkin dia akan capai sasaran lain di Piala AFF, Piala Asia atau sebagainya. Jadi tak salah bila meletakkan sasaran tertinggi, malah bila letak sasaran tinggi dia dapat merangka bagaimana dia nak sampai ke arah itu.

Kalau letak sasaran rendah, nak pergi tertinggi, itu sukar sebab anda tak letak sasaran tertinggi. Kita kena faham bagaimana dia akan merangka atau menyusun perancangan untuk capai ke Piala Dunia.
sumber:- BH

“Setiap individu berpengalaman ada ramuan dia dan dia juga ada orang yang boleh dipercayai untuk membawa atau membantunya capai matlamat,” katanya.