Sukan

Penantian 42 tahun bakal tamat

Skuad Harimau Malaya berpeluang menamatkan badi 42 tahun layak secara merit ke Piala Asia apabila dipilih sebagai tuan rumah pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini.

Malaysia antara enam negara yang terpilih menjadi gelanggang berpusat bagi setiap kumpulan di mana India, Kuwait, Kyrgyzstan, Mongolia dan Uzbekistan turut diumum oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Dalam kenyataan dikeluarkan di laman sosial AFC itu, undian kumpulan membabitkan 24 pasukan itu akan diadakan pada 24 Februari ini dengan skuad negara kendalian Kim Pan-gon berada dalam balang tiga bersama lima lagi negara iaitu Afghanistan, Yaman, Myanmar, Maldives dan Indonesia.

Untuk rekod, kali terakhir skuad Harimau Malaya layak secara merit di pentas tertinggi Asia itu pada 1980 di Kuwait apabila Malaysia menamatkan saingan di tangga keenam daripada 10 pasukan bertanding, manakala saingan sama pada 1976 menyaksikan skuad negara mengakhiri cabaran di kedudukan kelima daripada enam negara.

Bagaimanapun, pencapaian sama gagal diulangi pada 2007 ketika Malaysia dipilih menjadi tuan rumah pusingan akhir Piala Asia bersama tiga lagi negara iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia apabila tewas dalam semua aksi peringkat kumpulan.

Ketika mendapatkan maklum balas daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai pemilihan tuan rumah itu, badan induk berkenaan mengakui masih menunggu surat rasmi daripada AFC dan hanya akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu selepas menerima hitam putih daripada badan induk Asia itu.

“Buat masa ini FAM tidak boleh memberikan sebarang komen,” kata Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar ketika ditemui selepas sidang media memperkenalkan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon di Wisma FAM, di sini, hari ini.

sumber:- BH

Difahamkan, dua venue dicadangkan oleh FAM iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai venue perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 itu.

Malah, beberapa lokasi latihan juga sudah dipilih antaranya padang latihan PKNS, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan dua lagi lokasi yang akan dimuktamadkan selepas ini.