Sukan

Zii Jia kini diburu

Selepas memutuskan untuk keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bergerak secara profesional, bulan lalu, saham Lee Zii Jia melonjak apabila empat syarikat peralatan sukan gergasi mengemukakan tawaran bagi menjadi penajanya.

Pemain perseorangan lelaki nombor tujuh dunia ketika mengulas mengenai dakwaan dia mendapat tawaran lumayan daripada Victor, sebuah syarikat Taiwan, berkata dia sebenarnya turut ditawarkan kontrak syarikat daripada Jepun iaitu Yonex selain Li Ning (China) dan Felet (Malaysia).

Secara jujurnya, bukan saja Victor kerana selepas BAM memberi restu kepada saya untuk keluar, saya ada mendapat tawaran daripada Li Ning, Yonex dan Felet.

“Namun, semuanya masih dalam rundingan dan apabila semuanya sudah ‘confirm’ saya akan umumkan,” kata juara Seluruh England 2021 itu.

Pemain berusia 23 tahun itu sebelum ini dilaporkan menerima tawaran lumayan daripada sebuah syarikat peralatan sukan dari Taiwan dipercayai Victor yang didakwa menjadi faktor utama dia mahu meninggalkan BAM.

Zii Jia didakwa ditawarkan bayaran sebanyak AS$400,000 (RM1.674 juta) setahun dengan tempoh kontrak selama tujuh tahun dengan nilai keseluruhan sebanyak RM11.718 juta.

Sementara itu, ditanya mengenai mengenai siapa bakal menjadi jurulatihnya, Zii Jia yang berasal dari Alor Setar berkata ia masih lagi dalam rundingan dan akan diputuskan dalam masa terdekat.

“Saya harap boleh bawa seluruh pasukan saya (jurulatih dan pasukan sokongan) apabila beraksi di Terbuka Jerman nanti (8 hingga 13 Mac depan).

sumber:- BH

“Buat masa sekarang saya tidak boleh komen lagi mengenai siapa calon jurulatih kerana masih dalam rundingan, apabila selesai saya akan umumkan,” katanya yang menjadikan pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2018, Liew Daren dan pemain Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) Soong Joo Ven sebagai rakan sepelatihnya.