Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd melahirkan rasa gembira jika Nafuzi Zain yang kini membimbing Terengganu FC (TFC) dipilih sebagai pembantu kepada ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh menjelaskan, jika Nafuzi menjadi pilihan Pan- gon, ia satu penghargaan buat kelab dan jurulatih itu serta sumbangan kelab kepada pasukan kebangsaan.
Kita sangat gembira kerana bukan sahaja pemain sentiasa bersedia untuk mewakili pasukan negara, tetapi jurulatih kita pun berkeupayaan dan bersedia dipanggil untuk menyertai barisan kejurulatihan skuad negara.
“Lagipun Nafuzi sudah empat tahun bersama dengan kita, itu boleh kita rumuskan sebagai sumbangan TFC kepada skuad Harimau Malaya jika beliau menjadi pilihan Pan- gon,” katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.
Ketika ditanya pengganti Nafuzi jika jurulatih itu meninggalkan pasukan, Ab Rasid menjelaskan pihak pengurusan kelab sudah bersedia dengan situasi itu dan sudah ada perancangan.
Sekiranya Nafuzi bersama pasukan negara, kita sudah ada persediaan kerana dua jurulatih yang kini membimbing pasukan Terengganu FC II, (TFC II), Badrul Afzan Razali dan Subri Sulong sedang menjalani kursus mengambil lesen kejurulatihan Pro, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
“Jadi situasi ini saya lihat tiada masalah, lagipun penolong jurulatih TFC, Hairuddin Omar ada dalam pasukan, jadi untuk menjadi pemangku jurulatih sebelum kita mengambil jurulatih lain menggantikan tempat Nafuzi tiada halangan,” katanya yang mengakui setakat ini pihak pengurusan belum menerima sebarang surat rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung perkara itu selepas nama Nafuzi antara yang disebut sebagai pembantu Pang-gon.
Sebelum ini Nafuzi menjelaskan beliau tidak pernah memikirkan mengenai tawaran itu yang disifatkan sebagai penghargaan besar buatnya.
Bagaimanapun Nafuzi menjelaskan, jika ada tawaran secara hitam putih daripada FAM, beliau akan memikirkan sedalam-dalamnya kerana fokusnya kini adalah untuk membimbing skuad TFC.
sumber:- HM
Kelmarin Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar menjelaskan beliau sudah mempunyai dua calon akhir sebelum dimuktamadkan minggu depan.