Dahagakan kejayaan yang lebih tinggi mendorong pemain tengah, K Sarkunan terus fokus kepada usaha meningkatkan tahap prestasinya kerana mahu membantu skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) tampil hebat dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Bekas pemain Selangor FC berusia 25 tahun itu amat mengharapkan perpindahannya ke skuad Hobin Jang Hobin dapat memberi sinar dalam kerjayanya.
Sudah agak lama juga saya tidak berpeluang menjulang trofi kejuaraan dalam Liga M selepas membantu Selangor muncul naib juara Piala FA pada 2018. Saya mengharapkan tuah bersama Negeri Sembilan musim ini dengan melakar sesuatu yang membanggakan.
“Walaupun Negeri Sembilan mungkin dianggap pasukan baharu dalam saingan Liga Super, tapi pasukan ini memiliki pengalaman dan bukan asing di pentas saingan liga utama itu,” katanya.
Sarkunan berkeyakinan Negeri Sembilan mampu memberikan cabaran bermakna dalam saingan Liga Super menerusi persiapan rapi termasuk gandingan pemain berpengalaman dan muda, selain tenaga lima pemain import yang memiliki rekod baik.
Menurutnya, faktor yang ada itu juga bukan sesuatu yang mustahil buat skuad Hobin Jang Hobin untuk mencipta kejutan.
Setiap pemain mahukan kejayaan luar biasa dan tidak salah kita menyimpan impian tinggi kerana Negeri Sembilan juga pernah melakar banyak kejayaan sebelum ini, termasuk menjulang trofi Piala Malaysia.
sumber:-BH
“Saya berharap dapat membantu menjulang nama Negeri Sembilan dan peluang itu dilihat berupaya dilakukan menerusi pemain yang dimiliki musim ini,” katanya.