Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah menyewa kereta Ferrari dan Lamborghini pada 2020 untuk kegunaan pemain Harimau Selatan.

Perkara itu diluahkan tonggak pertahanan import JDT, Mauricio ketika ditemubual oleh agensi sukan Russia Sport-Express di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pemain kelahiran Brazil itu turut menjelaskan mengenai rasa gembiranya terhadap peranan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam menguruskan kelab dan pemain, serta keinginan untuk menjadi pasukan terbaik.

Mauricio juga menyenaraikan JDT sebagai salah satu dari tiga kelab yang diingati sepanjang kariernya selain bersama kelab Brazil, Palmeiras FC dan kelab Portugal, Sporting CP.

Saya berasa seperti di tempat sendiri, dan saya sangat gembira apabila takdir membawa saya ke kelab ini (JDT). Kelab kami ini sangat istimewa. Bos (Tunku Ismail) sentiasa memberi motivasi kepada pasukan untuk memenangi setiap perlawanan dan sentiasa menjadi yang pertama.

Baginda mencipta keadaan yang selesa buat semua pemain dalam segala-galanya – kehidupan, latihan dan perlawanan. Atas sebab ini, kami perlu membalas jasa Baginda dengan beraksi cemerlang. Ini adalah asas kepada bola sepak.

Pada 2020, Baginda menyewa kereta berprestasi tinggi untuk kami, Ferrari, Lamborghini dan jenama-jenama yang lain. Kami memandunya ke latihan dan perlawanan. Bagi saya, ia seperti setiap impian kanak-kanak.

Dalam masa yang sama, tiada seorang pun yang lupa tujuan kami ke Dubai adalah untuk bersedia bagi menghadapi musim baharu iaitu objektif utama kami. Tanggungjawab kami sangat besar.

“Tetapi sejujurnya, saya suka tekanan seperti ini. Anda tidak boleh membenarkan diri anda untuk berehat walau sesaat. Anda sentiasa diminta untuk mempunyai permainan yang lebih baik, keputusan yang lebih baik dan semestinya, trofi-trofi,” katanya.

JDT menutup aksi pramusim mereka di Dubai dengan mengikat kelab gergasi Russia, Spartak Moscow 1-1, malam tadi yang menyaksikan Harimau Selatan meraih satu kemenangan, tiga seri dan satu kekalahan sepanjang lima aksi persahabatan mereka di sana.

sumber:- BH

Kemenangan tunggal dirakam JDT ketika menewaskan kelab UAE, Shabab Al Ahli 1-0 manakala seri berdepan MSK Zilina (2-2), Riga FC (1-1) dan Spartak Moscow (1-1) selain tewas 0-2 di tangan satu lagi kelab Russia, Rodina Moscow.