Sukan

Prestasi Kedah luar biasa 18 gol tanpa dibolosi

Dua siri aksi pramusim iaitu Jelajah Lembah Klang dan Sabah yang diatur KDA FC bermula 5 Februari ini bakal melengkapkan persiapan skuad Hijau Kuning menjelang Liga Malaysia (Liga M) yang akan bermula Mac depan.

Ini fasa penting bagi menilai kekuatan sebenar skuad kendalian Aidil Sharin Sahak selepas menamatkan empat perlawanan pramusim di Kedah bertemu MADA FC, Skuad bawah 21 tahun Kedah, Langkawi City FC dan Respect FC dengan jumlah keseluruhan jaringan 18 gol tanpa dibolosi.

Menurut Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin, skuadnya yang sudah melengkapkan empat perlawanan di tempat sendiri itu, kini mahu melihat lebih jauh kemampuan skuad Hijau Kuning apabila berdepan pasukan dari luar Kedah di Liga Perdana dan Liga Super serta dibarisi pemain di peringkat berbeza.

“Peluang beraksi dengan pasukan-pasukan dalam dua siri perlawanan bakal menguji lebih tinggi kemampuan pasukan yang kini bersemangat penuh dalam mencari keserasian selepas mula dibentuk sejak bulan lalu.

“Saya berharap semua pemain dapat memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya agar tahap persefahaman, semangat dan kerjasama dalam pasukan dapat terus ditingkatkan apabila bertemu pasukan yang lebih mencabar tambahan pula dengan kehadiran pemain import mereka.

“Terlalu awal hendak dikatakan mengenai kemampuan sebenar skuad Kedah melalui empat perlawanan pemanas badan walaupun dilalui dengan keputusan yang baik dan tanpa bolos, kami perlu perlu terus pandang ke depan dan benar-benar bersedia untuk menghadapi saingan peringkat yang lebih tinggi.” katanya.

Tiga perlawanan yang akan menguji KDA FC selepas ini bermula dengan aksi di Lembah Klang (Jelajah Lembah Klang) menentang skuad Liga M3 PIB FC di Padang Sime Darby, Bukit Jelutong pada 5 Februari ini.

Ini diikuti perlawanan men3ntang pasukan Liga Perdana, PDRM FC di padang yang sama pada 7 Februari sebelum melengkapkan jadual di Lembah Klang bertemu skuad UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam pada 9 Februari.

sumber : HM

Skuad kendalian Aidil Sharin seterusnya akan ‘terbang’ ke Sabah bagi melengkapkan fasa terakhir pramusim melalui aksi perlawanan Jelajah Sabah dengan aksi empat penjuru men3ntang pendatang baharu Liga Super, Sarawak United FC pada 12 Februari, Kelantan FC (15 Februari) dan Sabah FC (18 Februari) yang masing-masing berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu.