Sukan

Bakal dapat durian runtuh

Pemain Kuala Lumpur City (KL City) bakal menerima bonus tidak lama lagi, susulan kejayaan skuad itu merangkul gelaran juara Piala Malaysia.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ia sebagai mengotakan janji yang dibuat sekiranya pasukan berkenaan dapat menamatkan penantian 32 tahun untuk merampas kembali kejuaraan.

Kita akan beri selepas ini. Kita dah janji jika mereka menang cuma kita tidak sampaikan lagi (pemberian bonus).

“Kita nak pastikan bonus akan diberikan kepada semua pemain,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Pada Disember lalu, media melaporkan Shahidan menerusi akaun Facebooknya mengesahkan akan memberi ganjaran buat skuad berkenaan, namun tidak menjelaskan apa bentuk hadiah yang akan diberikan.

Pengumuman itu dibuat selepas skuad KL City menundukkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 November lalu, selepas kali terakhir muncul juara pada 1989.

sumber:- HM

Ia adalah kali keempat skuad City Boys menjulang Piala Malaysia selepas melakar hatrik pada 1987, 1988 dan 1989.