Sukan

TMJ akui ‘dicucuk’ oleh Hodak

Pelantikan Nelo Vingada sebagai pengendali skuad Harimau Malaya pada 2017 adalah cadangan daripada jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak dan ia dianggap satu kesilapan terbesar oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Vingada yang dilantik secara rasmi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) lima tahun lalu itu yang pada waktu itu Tunku Ismail adalah Presidennya, mengakui ‘dicucuk’ oleh Hodak untuk mengambil jurulatih dari Portugal itu.

Katanya, pada ketika itu fokus beliau hanyalah mahu menyelesaikan dulu segala tunggakan hutang yang ditanggung FAM selain beberapa perubahan membabitkan perlembagaan badan induk itu yang menjadi keutamaannya.

Namun, dalam masa yang sama di kala skuad Harimau Malaya memerlukan jurulatih baharu bagi menggantikan Datuk Ong Kim Swee yang ditugaskan melatih skuad B-23 negara, Hodak tampil bertemu Tunku Ismail mencadangkan nama Vingada.

Saya buat silap, semua orang bangkitkan mengenai saya melantik Nelo Vingada. Tahu macam mana saya kenal Nelo Vingada?

“Bojan Hodak yang cadangkan kepada saya Nelo Vingada. Masa itu saya punya komitmen adalah selesaikan hutang-hutang di FAM dan tukar perlembagaan di FAM kerana pada waktu itu, dengan perlembagaan asal kuasa Presiden FAM adalah terlalu besar.

“Jadi untuk FAM menjadi penjaga kepada liga…bukannya pemilik liga, kita tukar perlembagaan macam sekarang kita ada MFL (Liga Bolasepak Malaysia).

Pada waktu itu fokus saya bukan 100 peratus pada skuad kebangsaan kerana saya tengah membetulkan sistem yang ada, hutang-hutang, kes-kes lama itu semua.

Apabila semua itu selesai baru boleh fokus pada skuad kebangsaan, tetapi kerana mahu segera mengambil seorang jurulatih luar, Bojan Hodak cadangkan kepada saya Nelo Vingada, saya pun ambil.

“Tapi selepas saya nampak ada benda tak kena, kita ketepikan Nelo Vingada dan ambil Tan Cheng Hoe. Alhamdulillah ada nampak perubahan, cuma hujung-hujung tiada keputusan,” katanya.

Sebagai rekod, di bawah kendalian Vingada atau lebih dikenali dengan panggilan ‘The Profesor’, skuad negara melalui fasa terburuk dalam sejarah bola sepak negara apabila langsung tidak pernah mencatat kemenangan dalam tujuh aksi bersama pasukan.

Malah, ranking dunia skuad Harimau Malaya juga jatuh ke kedudukan terburuk hingga menyebabkan jurulatih asing itu melepaskan jawatan pada bulan Disember 2017 selepas hanya sempat melatih pasukan selama tujuh bulan.

Jelas Tunku Ismail lagi, FAM yang kini dipimpin Datuk Hamidin Mohd Amin perlu berani memecat jurulatih dan melantik segera pengendali baharu sekiranya gagal mencapai sasaran.

sumber:- HM

“Apabila benda itu berlaku, kita tukar lagi. Saya sendiri di JDT sudah tukar jurulatih sebanyak sembilan kali, jadi jangan takut nak tukar apa-apa, yang penting perancangan, visi dan solusi kena jelas,” katanya.