Sukan

Kecewa Rombongan Jurulatih baharu Malaysia

Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim mengharapkan kehadiran jurulatih kelahiran Korea Selatan, Kim Pan Gon mengemudi skuad kebangsaan bukan sekadar ‘eksperimen’ buat pasukan negara.

Sebaliknya jurulatih Kuching City FC (KCFC) berusia 71 tahun itu meletakkan harapan yang tinggi kehadiran bekas pengendali skuad kebangsaan Hong Kong itu membawa sinar baharu buat skuad Harimau Malaya.

Bekas pemain Malaysia itu juga mengharapkan jurulatih berusia 52 tahun itu mampu memacu pasukan kebangsaan sekali gus menjadi antara pasukan terkuat di rantau Asean.

Sebagai jurulatih yang sudah masak dalam dunia bola sepak, saya sedar tempoh dua tahun yang diberikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada jurulatih dari Korea Selatan itu adil, lagipun sukar untuk dapatkan keputusan serta merta dan sasaran yang ditetapkan.

Namun pandangan saya petunjuk prestasi utama (KPI) kepada mana-mana jurulatih perlu ada bagi memastikan ianya tidak tersasar daripada landasan sebenar.

Keputusan dalam setiap perlawanan dan kejohanan yang bakal disertai juga penting, bukannya eksperimen kerana sudah pasti penggiat dan peminat sukan ini mahukan keputusan terbaik lebih-lebih lagi pengendali itu dari luar Malaysia, jadi harapan sudah tentu tinggi untuk bawa perubahan.

“Bagaimanapun kita perlu bagi peluang kepada jurulatih itu membentuk pasukan dengan tidak cepat menghukum terutama selepas jurulatih sebelum ini gagal melonjakkan prestasi pasukan negara, lagipun pasukan negara jiran juga sudah menggunakan khidmat jurulatih kelahiran Korea Selatan dan Jepun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, pada masa sama bekas pengendali Terengganu FC (TFC) sedikit kecewa apabila Pan Gon membawa ‘rombongannya’ tanpa ada wakil pengendali tempatan bersamanya dalam barisan kejurulatihan.

Inilah yang mengecewakan saya, sepatutnya dalam kem skuad kebangsaan perlu ada sekurang-kurangnya seorang atau dua jurulatih tempatan bersama dengan Pan Gon.

Selain memberi kelebihan kepada pengendali tempatan ‘berguru’ dengan Pan Gon, jurulatih Korea Selatan itu juga perlu tahu dengan lebih mendalam budaya kita.

Saya melahirkan kebimbangan jika Pan Gon dan barisan kejurulatihannya tidak memahami budaya kita, pemain yang dipanggil bersama skuad kebangsaan nanti tidak memberikan kerjasama yang penuh, jika ini berlaku pasukan negara tidak akan ke mana dan pasti episod sama berulang.

sumber:- HM

“Jadi FAM perlu tegas dalam perkara ini dengan menyenaraikan jurulatih tempatan bersama dengan Pan Gon dalam kem pasukan negara,” katanya.