Kehadiran jurulatih baru, Harimau Malaya Kim Pan Gon bukan bermakna isu atau kemelut yang melanda skuad kebangsaan akan selesai sepenuhnya.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata kekurangan ‘bekalan’ pemain berkualiti untuk dipanggil beraksi bersama skuad Harimau Malaya adalah penyebab kemerosotan terus berlaku dalam pasukan.
Beliau berkata, hasil daripada pemerhatiannya mendapati bahawa Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan FAM perlu duduk semeja untuk memastikan kelab dapat menyediakan pemain berkualiti untuk pasukan Harimau Malaya.
Katanya, masalah atau isu seperti kekurangan fasiliti di kelab Liga Malaysia (Liga M) dan tunggakan gaji seharusnya tidak berlaku memandangkan ia mengganggu usaha melahirkan pemain berkualiti pada masa akan datang.
“Perlantikan jurulatih baru tidak akan selesaikan prestasi secara keseluruhan pada masa akan datang.
“Hasil daripada pemerhatian saya mendapati Liga M perlu ‘suapkan’ pemain berkualiti untuk dibawa ke skuad kebangsaan.
“Masalah seperti tunggakan gaji, tiada padang yang memenuhi standard minimum atau gimnasium lengkap menyebabkan sebahagian pasukan tidak dapat mengeluarkan pemain berkualiti untuk pasukan kebangsaan,” katanya.
sumber : HM
FAM semalam mengumumkan pelantik Kim Pan Gon sebagai pengendali skuad kebangsaan selepas Tan Cheng Hoe melepaskan jawatannya awal Januari lalu.