Sukan

Selangor FC mahu slot Asia

Selangor FC tidak mahu lagi dibuai mimpi indah apabila sekali lagi meletakkan misi wajib menempah tiket untuk beraksi di Liga Juara-Juara Asia atau sekurang-kurangnya Piala AFC musim depan sebagai kayu pengukur kejayaan pasukan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, walaupun sasaran terbabit dilihat agak sukar, gandingan barisan pemain baharu dan muda mampu merealisasikan impian terbabit.

Beliau berkata, harapan pengurusan dan peminat pada musim 2022 cukup tinggi dengan mahu melihat Selangor FC melakar kejayaan seterusnya berada dalam kelompok tiga terbaik Liga Super.

Kita akan menggunakan pemain muda yang majoritinya sudah beraksi dalam pasukan utama. Sekarang ini, mereka wajib capai sasaran beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia atau Piala AFC.

Tekanan memang ada namun itu bukanlah masalah kerana pasukan sudah semestinya bekerja keras untuk mencapai sasaran itu.

“Perkara penting, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab itu dan alhamdulillah penyokong memahami usaha yang sedang dilakukan Selangor FC,” katanya.

Sementara itu, Johan berkata, keupayaan pemain muda yang akan menjadi ‘nadi’ kepada pasukan tidak perlu dipertikaikan lagi kerana ada antara mereka sudah membuktikan kebolehan masing-masing pada musim 2021.

Mereka beraksi dengan baik bersama pasukan utama sekali gus sudah tiba masanya kita memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk menggalas tanggungjawab lebih besar lagi pada musim 2022.

sumber:- HM

“Sudah tentunya, tonggak import yang baharu kita ambil akan membantu pasukan mencapai matlamat dan memberi tunjuk ajar kepada pemain muda,” katanya.